PETRA JAYA: Cadangan pembangunan kawasan Batang Lupar berpotensi diperluas sebagai projek pembangunan bersepadu yang mampu menjana aktiviti ekonomi serta memberi limpahan manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya di Sri Aman dan kawasan sekitarnya.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Pejabat Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar di sini, semalam.
Dalam pertemuan tersebut, Dayang Noorazah turut mendapatkan pandangan dan nasihat Awang Tengah berhubung cadangan perancangan pembangunan kawasan Batang Lupar, termasuk Projek Pembinaan Dewan Simposium Batang Lupar.
Cadangan berkenaan merupakan kesinambungan siri perbincangan dan penyelarasan bersama agensi berkaitan sebelum ini dalam usaha memperhalusi hala tuju pembangunan kawasan tersebut.
Menurut Dayang Noorazah, perancangan pembangunan Batang Lupar tidak seharusnya dilihat hanya daripada aspek pembinaan sebuah dewan, sebaliknya perlu dirancang secara lebih menyeluruh dan bersepadu.
“Antara komponen yang boleh diberi perhatian termasuk pembangunan komersial, kediaman, kemudahan awam serta infrastruktur sokongan yang berupaya merancakkan kegiatan ekonomi dan membuka peluang baharu kepada penduduk setempat.
“Potensi tersebut dilihat semakin besar dengan kewujudan Jambatan Batang Lupar yang bakal menjadi antara mercu tanda dan ikon baharu Sri Aman.
“Justeru, kawasan di sekitar jambatan berkenaan dilihat mempunyai potensi untuk dibangunkan secara strategik bagi memastikan kewujudan infrastruktur itu turut membawa nilai tambah serta limpahan ekonomi yang lebih luas kepada Sri Aman dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Awang Tengah atas kesudian menerima kunjungan serta meluangkan masa berkongsi pandangan, nasihat dan input dalam usaha memperhalusi perancangan pembangunan berkenaan.
Beliau berharap kerjasama berterusan antara semua pihak dapat membuka ruang untuk merealisasikan pembangunan baharu yang bukan sahaja menjadi tarikan kepada Sri Aman, malah mampu mewujudkan peluang ekonomi, merancakkan sektor perniagaan dan menarik pelaburan.
Pada masa sama, pembangunan tersebut diharap dapat memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat, termasuk penduduk di kawasan DUN Lingga.
Usaha bersepadu itu diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan Sri Aman yang lebih maju, makmur dan berdaya saing pada masa hadapan.
Turut bersama dalam kunjungan itu ialah pegawai Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta pihak konsultan.
Oleh Adi Safarman





