SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) komited memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memperluas peluang dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti di Sarawak.
Naib Canselor UTS, Prof. Dr. Mohammad Shahril Osman berkata, kerjasama berterusan itu penting bagi memastikan universiti berkenaan terus berkembang serta memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat.
“Di UTS, kami percaya kemajuan bermakna hanya dapat dicapai melalui kerjasama kukuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan UTS 2026 di Hotel Tanahmas, di sini, semalam.
Beliau berkata, kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, penglibatan komuniti, pembangunan pelajar, perkhidmatan awam dan industri memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan UTS.
Menurutnya, sokongan, kerjasama dan galakan berterusan daripada pelbagai organisasi serta individu turut membantu universiti membina hubungan kukuh dengan rakan kongsi.
“Setiap perkongsian memainkan peranan penting dalam membantu UTS berkembang dan berkhidmat kepada masyarakat Sarawak,” katanya.
Mohammad Shahril berkata, UTS akan terus memperkukuh hubungan sedia ada selain mewujudkan lebih banyak peluang untuk kerjasama pada masa akan datang.
Katanya, universiti itu berharap kerjasama berkenaan dapat memberi manfaat kepada pelajar, komuniti serta menyokong pembangunan Sarawak secara keseluruhannya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kongsi dan sahabat UTS atas kepercayaan, sokongan serta komitmen yang diberikan selama ini.
“Majlis malam ini bukan sahaja untuk menghargai sokongan, tetapi juga meraikan persahabatan dan hubungan yang telah kita bina bersama,” katanya.
Beliau berharap hubungan berkenaan terus diperkukuh melalui lebih banyak kerjasama bermakna pada masa akan datang.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee.





