Jay Chou beli dua rumah RM63.7 juta secara tunai, hadiah buat isteri

Facebook
WhatsApp
PENYANYI Taiwan, Jay Chou dilaporkan membeli dua buah rumah mewah di Taipei bernilai RM63.7 juta secara tunai dan mendaftarkan kedua-dua hartanah berkenaan atas nama isterinya, Hannah Quinlivan. - AGENSI

TAIPEI, Taiwan: Penyanyi Taiwan, Jay Chou dilaporkan membeli dua buah rumah mewah di Taipei bernilai AS$15.1 juta (RM63.7 juta) secara tunai dan mendaftarkan kedua-dua hartanah itu atas nama isterinya, Hannah Quinlivan.

Penyanyi berusia 47 tahun itu dikatakan membayar keseluruhan harga hartanah berkenaan tanpa membuat sebarang pinjaman.

Menurut laporan Money UDN, Jay telah merancang pembelian tersebut sejak tahun lalu sebelum urus niaga berkenaan dimuktamadkan tepat pada masanya sempena ulang tahun kelahiran Hannah yang ke-33 pada 12 Ogos lalu.

Kedua-dua hartanah berkenaan mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 990 meter persegi dan terletak di salah satu kawasan kediaman mewah di Taipei.

Sementara itu, portal hiburan Next Apple melaporkan bahawa Jay memiliki sekurang-kurangnya 10 hartanah di sekitar Taipei.

Selain hartanah, pelantun lagu Mojito itu juga mempunyai minat mendalam terhadap karya seni bernilai tinggi.

Pada Mei lalu, Jay menjadi perhatian selepas dilaporkan membelanjakan AS$20 juta (RM79.3 juta) untuk memiliki sebuah lukisan minyak karya pelukis terkenal Perancis, Henri Matisse.

Lukisan berjudul The Morning Session itu dihasilkan pada 1924.

Pembelian terbaharu itu sekali lagi mencuri perhatian, bukan sahaja kerana nilai hartanah berkenaan, tetapi juga kerana Jay memilih untuk mendaftarkannya atas nama Hannah.

Jay berkahwin dengan Hannah pada 17 Januari 2015 dan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Hathaway Chou, 11, dan Jaylen Romeo Chou, 9. – AGENSI