Kerajaan sasar penghantaran bekalan air dalam tempoh 12 jam

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC), di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menetapkan sasaran supaya bekalan air kepada penduduk yang terjejas akibat kekurangan air di kawasan dilanda jerebu dapat dihantar dalam tempoh 12 jam selepas permohonan diterima.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penghantaran bekalan air, termasuk air botol, sedang dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi bagi membantu penduduk yang terjejas.

Beliau berkata, permohonan bekalan air akan disalurkan kepada pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri atau bahagian sebelum jumlah bekalan yang diperlukan ditentukan berdasarkan bilangan penduduk terjejas.

“Selepas menerima permohonan, air itu mesti dihantar dalam tempoh 12 jam,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. 

Menurutnya, penghantaran bekalan air dilaksanakan menggunakan pengangkutan darat atau sungai, bergantung kepada keadaan dan lokasi kawasan terjejas.

Beliau berkata, kerajaan turut bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) bagi memastikan proses penghantaran serta pengagihan bekalan air kepada penduduk dapat dilakukan dengan segera.

Sementara itu, bekalan air mentah turut disalurkan menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu menyediakan bekalan air botol kepada penduduk yang memerlukan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri mengakui isu kekurangan air menjadi antara cabaran utama susulan keadaan cuaca dan jerebu yang berpanjangan, justeru semua agensi berkaitan diarahkan untuk terus memberi keutamaan kepada keperluan penduduk terjejas.