20 trip bekalan air dihantar, JBALB perhebat bantuan ke Kabong dan Roban

Facebook
WhatsApp
PENGHANTARAN bekalan air di sekitar kawasan Kabong dan Roban, semalam. Foto JBALB Sarawak

KABONG: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) terus mempergiat usaha memastikan keperluan bekalan air penduduk di kawasan terjejas sentiasa diberi perhatian susulan keadaan cuaca kering dan kekurangan sumber air.

Menurut kenyataan media JBALB Sarawak, langkah proaktif itu dilaksanakan bagi membantu komuniti yang berdepan gangguan serta kekurangan bekalan air, khususnya di kawasan Kabong dan Roban.

“Sebanyak tujuh lori tanker telah digerakkan bagi melaksanakan penghantaran bekalan air kepada penduduk yang memerlukan di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Setakat 3.00 petang semalam, sebanyak 20 trip penghantaran bekalan air telah dilaksanakan menerusi operasi berkenaan.

“Penghantaran itu akan terus dilakukan mengikut keperluan penduduk serta keadaan semasa bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke kawasan yang memerlukan,” kata JBALB Sarawak.

SEBANYAK 20 trip penghantaran bekalan air telah dilaksanakan menerusi operasi berkenaan. Foto JBALB Sarawak

JBALB berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam membantu komuniti terjejas, terutama ketika berdepan keadaan cuaca kering yang berpanjangan.

Situasi semasa turut dipantau dari semasa ke semasa bagi membolehkan tindakan penghantaran bekalan air melalui tanker dilaksanakan dengan lebih berkesan berdasarkan keperluan di lapangan.

“JBALB Sarawak memberi jaminan bahawa operasi bantuan bekalan air akan diteruskan dari semasa ke semasa selagi diperlukan, dengan keutamaan diberikan kepada komuniti yang terjejas,” katanya.

Penduduk yang mempunyai aduan atau memerlukan maklumat berkaitan bekalan air boleh menghubungi JBALB Call Centre di talian 082-262211.

Oleh Adi Safarman