DEBAK: Kebakaran belukar yang berlaku berhampiran tiang elektrik di kawasan Penunus Debak, semalam, mencetuskan kebimbangan apabila api dilaporkan merebak dengan pantas melalui tumbuhan serta rumput kering.
Menurut kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak, kebakaran berkenaan dikesan berlaku di kawasan belukar yang terletak berhampiran struktur tiang elektrik.
Keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila api mula menghampiri pangkal tiang elektrik, sekali gus berpotensi menjejaskan struktur serta komponen elektrik sekiranya kebakaran tidak dikawal segera.
Kebakaran turut memusnahkan tumbuhan di sekitar kawasan berkenaan, manakala kepulan asap tebal dan api yang marak dapat dilihat dari kawasan sekitar.

Situasi itu turut menimbulkan kebimbangan orang awam berikutan risiko api merebak ke kawasan berhampiran, termasuk rumah, kebun, jalan raya dan struktur lain sekiranya keadaan tidak ditangani dengan segera.
Pasukan APM Debak bersama anggota bomba yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran dan memastikan api tidak terus merebak ke kawasan berdekatan.
Pasukan penyelamat turut melakukan pemeriksaan di kawasan yang terbakar bagi memastikan tiada lagi bara atau bahagian yang masih berapi yang boleh menyebabkan kebakaran kembali berlaku.
Kejadian berkenaan turut menjadi peringatan kepada orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama ketika keadaan cuaca panas dan kering.
Rumput serta tumbuhan yang kering boleh menyebabkan api merebak dengan cepat, khususnya apabila ditiup angin, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran merebak ke kawasan lebih luas dan menyebabkan kerosakan yang lebih serius.
Oleh Adi Safarman




