900 kotak air mineral disalur bantu penduduk terjejas kemarau di Kabong

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 900 kotak air mineral disalurkan kepada penduduk Kampung Sungai Pala semalam bagi membantu meringankan beban mereka yang berdepan masalah bekalan air susulan musim kemarau dan keadaan jerebu. Foto: ADUN Kabong

KABONG: Sebanyak 900 kotak air mineral disalurkan kepada penduduk Kampung Sungai Pala di sini semalam bagi membantu meringankan beban mereka yang berdepan masalah bekalan air susulan musim kemarau dan keadaan jerebu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, bantuan berkenaan merupakan antara langkah proaktif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan keperluan asas penduduk yang terjejas terus mendapat perhatian.

Menurutnya, penghantaran pertama bekalan air mineral itu dilaksanakan semalam, manakala penghantaran seterusnya dijangka diteruskan hari ini, tertakluk kepada keadaan serta keupayaan logistik berikutan permintaan bekalan air mineral yang tinggi ketika ini.

“JKM Sarawak mengambil langkah proaktif untuk membantu penduduk di kawasan Kabong yang terjejas akibat musim kemarau, masalah bekalan air serta keadaan jerebu.

BANTUAN… Sebanyak 900 kotak air mineral disalurkan kepada penduduk Kampung Sungai Pala, Kabong bagi membantu meringankan beban mereka yang berdepan masalah bekalan air susulan musim kemarau, semalam.

“Diharapkan bantuan ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban penduduk yang menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut terlibat dalam penghantaran bantuan itu ialah Pegawai Tadbir Khas kepada ADUN Kabong, Nur Elffi Amir; wakil JKM Saratok, Juhayati Dahlan serta beberapa ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong.

Chee Kadir berkata, beberapa permohonan bantuan air mineral daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) di sekitar Kabong masih diterima dan diselaraskan setiap hari menerusi Pejabat Daerah Kabong untuk dikemukakan kepada JKM Bahagian Betong.

Katanya, setiap permohonan akan melalui proses semakan borang dan dokumen sokongan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah sebelum dinilai mengikut jenis bantuan yang diperlukan.

“Bantuan yang disalurkan boleh melibatkan air minuman botol melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB), bekalan air untuk keperluan harian melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), atau kedua-duanya sekali.

“Selepas semakan dan kelulusan, agensi berkaitan akan mengambil tindakan bagi memastikan bekalan dapat disalurkan kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, usaha menangani masalah bekalan air turut disokong JBALB menerusi penghantaran lori tangki air (water tanker) ke kawasan yang mengalami gangguan atau kekurangan bekalan.

Chee Kadir berkata, beliau sentiasa mengambil maklum perkembangan situasi semasa dengan terus berhubung dengan pegawai Pusat Khidmat DUN Kabong, JBALB, JKM serta KMKK bagi memastikan setiap aduan berkaitan bekalan air diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.

Menurutnya, permohonan daripada KMKK di kawasan DUN Kabong terus diterima dan diselaraskan setiap hari, dari jam 8 pagi hingga 6 petang, bagi memastikan keperluan penduduk dapat dikenal pasti dengan segera.

“Kerjasama berterusan antara JKM, JBALB, Pejabat Daerah, KMKK dan Pusat Khidmat DUN Kabong diharap dapat memastikan kebajikan serta keperluan asas penduduk terus terbela sepanjang tempoh musim kemarau,” ujarnya.

Oleh Adi Safarman