KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing meneruskan rentak cemerlang di Masters China apabila berjaya meloloskan diri ke separuh akhir selepas menumpaskan gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Arena Shenzhen, gandingan no 85 dunia itu tidak berdepan masalah menundukkan lawannya dengan kemenangan straight set 24-22, 21-5 dalam tempoh 35 minit.
Menanti Pang Ron-Pei Jing esok adalah pemenang satu lagi aksi suku akhir melibatkan wakil China, Zhu Yi Jun-Li Qian yang akan turun menentang seorang lagi gandingan Taiwan, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin.
Untuk rekod ini merupakan kali pertama Pang Ron-Pei Jing berjaya mara ke separuh akhir untuk kejohanan bertaraf Super 750.- Bernama



