SIBU: Sokongan sektor korporat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) penting bagi memastikan pembangunan badminton junior di Sarawak dapat dilaksanakan secara berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek berkata, usaha memajukan sukan itu tidak boleh hanya bergantung kepada Persatuan Badminton Sibu (SBA), sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
“Sokongan daripada ibu bapa, sekolah dan pemain juga penting bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada kanak-kanak untuk menyertai aktiviti sukan yang sihat.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada penaja, Sarawak Energy, kerana kita perlu bekerjasama untuk memajukan sukan ini. Jika hanya bergantung kepada SBA, usaha tersebut tidak akan mencukupi,” katanya ketika berucap pada Kejohanan Badminton Junior Zon Tengah Sarawak Energy di Sekolah Tinggi Katolik, hari ini.
Chieng berkata kerjasama berkenaan dapat membantu memperkukuh asas badminton Sarawak, khususnya menerusi pendedahan kepada pemain muda dalam kategori bawah sembilan tahun (B9), B11, B13 dan B15.
Katanya, pembangunan bakat sejak usia muda penting bagi melahirkan pemain yang mampu mewakili Sarawak dan seterusnya negara pada masa hadapan.
Beliau turut menggesa pemain junior mencontohi semangat juang legenda badminton negara Lee Chong Wei yang tidak pernah berputus asa serta sentiasa berusaha meningkatkan prestasi menerusi latihan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Sibu (SBA) Ting Wei Ping berkata kejohanan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 263 pemain muda.
Beliau berkata kejohanan selama tiga hari itu mempertandingkan 16 acara membabitkan kategori B9, B11, B13 dan B15, termasuk acara beregu.
Katanya, sebanyak RM6,800 wang hadiah ditawarkan, manakala pemain yang menunjukkan prestasi terbaik, khususnya yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akhir, akan dipilih mewakili Zon Tengah pada Sarawak Energy Junior Final di Kuching pada Disember 2026.
Ting turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Energy Berhad atas sokongan berterusan terhadap pembangunan program badminton junior di Sarawak.
Oleh Tarani Lanting




