KUCHING: Seramai 44 individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam operasi penguatkuasaan Ops Selera, Ops Gegar dan Ops Sapu di sekitar Kuching, Bau dan Lundu pada 2 hingga 3 September lalu.
Operasi yang dijalankan dari 10.00 pagi hingga 4.30 pagi itu membabitkan pemeriksaan di lapan lokasi, termasuk premis kedai makan dan medan selera, pusat urut, rumah pekerja bengkel, rumah pekerja ladang kelapa sawit serta premis dan pusat beli-belah.


Dalam operasi itu, seramai 100 individu diperiksa, dengan 44 daripadanya ditahan untuk tindakan lanjut.
JIM Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, tangkapan membabitkan individu yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan awam dan hasil risikan JIM Kuching.



“Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras penyalahgunaan dan pelanggaran peraturan imigresen di Sarawak,” katanya.
JIM Sarawak turut menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang imigresen bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Oleh Afiq Sallehi





