Pemilihan Kata yang Menjadi dalam Sajak

Facebook
WhatsApp

APABILA memperkatakan sajak, fokus utamanya tentu sahaja tentang pemilihan kata. Walaupun tema menjadi asas pemikiran sesebuah sajak dilahirkan, pemilihan kata menjadi penentu pemikiran itu mampu diserlahkan.

Oleh yang demikian, pandangan sarjana bahawa sajak mesti dicipta dengan penegasan dalam konteks “kata-kata terbaik dalam susunan terbaik” bukanlah hanya retorik tetapi kunci utama sebagai penjana untuk melahirkan sesebuah sajak yang bermutu.

Kata bagi sesebuah sajak membawa sekali pemikiran dan perasaan. Pada kata itu, perlu membawa gagasan sama ada tersurat mahupun yang tersirat. Oleh itu, pemilihan kata bukan setakat memerlukan pemaknaan tetapi juga ritma yang melunakkan ungkapan, kesepaduan jalinan membina ayat dan keterjalinan antara kata ke kata.

Pemikiran dalam kata boleh juga dibina melalui kiasan, simbolik, perumpamaan dan sebagainya. Hal ini bermakna, kata yang dipilih dan digunakan dalam sajak bukan hanya membawa maksud yang tunggal, tetapi boleh meneroka maksud-maksud lain yang lebih mendalam. Penulis yang bijak akan memilih dan menggunakan kata yang mampu menimbulkan kesan pemaknaan walaupun unsur ambiguiti menyulitkan pembaca.

Dalam hal ini, tidak semestinya seseorang penulis mencari, memilih dan menggunakan kata yang jarang diketahui umum untuk menampakkan nilai pada penggunaan kata tersebut atau yang sukar difahami sama ada konsep atau konteks, sebab sajak juga memerlukan elemen “susunan terbaik” sebagai pelengkapnya.

Maka, sajak yang mempunyai “kata terbaik” tanpa “susunan terbaik” menjadikan sajak itu tidak kesampaian tentang maknanya dan sajak yang tidak punya “kata terbaik” tetapi mempunyai “susunan terbaik” mungkin melahirkan sajak yang langsung atau hilang keindahan puitisnya.

Perlu sama-sama kita fahami bahawa sajak merupakan karya yang unik. Kata-kata yang digunakan sememangnya sedikit untuk membina ungkapan yang membawa gagasan yang besar.

Hal ini yang menyulitkan. Sebab, menentukan kata yang boleh menjadikan ungkapan untuk melontarkan gagasan sering memerangkap penulis ke arah memunculkan ungkapan bombastik dan mungkin lewah.

Ungkapan dalam sajak tidak perlu berjela-jela. Bukan seperti gaya prosa dalam cerpen atau novel.  Bezanya, cerpen dan novel memerlukan gambaran dan pemberitahuan, sedangkan sajak memerlukan gambaran serta kiasan.

Elemen gambaran dan kiasan dalam sajak inilah yang perlu dikuasai oleh penulis sajak untuk menentukan sifat kata yang boleh membangunkan pemaknaan pada kata sehinggalah membentuk ungkapan yang berfalsafah.

Kiasan sudah ada dalam puisi tradisional seperti pantun. Sajak juga memerlukan kiasan kerana melalui sifat kias ini, sajak mampu membina ekspresi bahasa yang memberi perumpamaan kepada sifat kata untuk bercerita dalam sajak.

Untuk melanjutkan perbincangan tentang “pemilihan kata” dalam sajak ini, mari kita sama-sama meneliti tiga buah sajak yang telah disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lalu.

Sajak-sajak berkenaan ialah “Pelangi Malaysia, Warna Perpaduan” nukilan Kpl Muhammad Hafiz Berahim, sajak “Jejak yang Masih Bernafas” nukilan Doreen C dan sajak “Ragu Penulis Pemula” nukilan Firdaus Dahlan.

Sajak pertama yang akan kita teliti dan bincangkan bersama-sama ialah sajak berjudul “Pelangi Malaysia, Warna Perpaduan”. Sajak ini  sajak yang baik. Pemilihan dan penggunaan kata dalam sajaknya terjalin kemas, membina perumpamaan yang berpautan dan indah dibaca sebagai sebuah karya. Perhatikan keseluruhan sajak ini;

Sesudah hujan darah reda di dada sejarah,

pelangi terbit di langit merdeka.

Merahnya nyala semangat wira,

kuningnya lambang takhta mulia.

birunya teduh menyapa laut,

hijau, jingga, ungu berpadu –

menyulam wajah bangsa

dalam satu rentak baharu.

Kanak-kanak menunjuk ke langit,

“itulah Malaysia,” kata mereka;

(indah kerana berbeza,

teguh kerana bersama).

Pelangi tidak pernah lahir sendirian –

ia wujud dari cahaya berpadu;

seperti bangsa ini,

menukar luka menjadi rindu.

Permulaan sajak ini, melalui ungkapan dalam dua baris, begitu lunak dan indah. Seakan-akan mukadimah sebuah cerita yang didahului dengan impak naratif.

Penggunaan kata “hujan” dalam ungkapan “sesudah hujan darah” membawa pengertian yang mendalam serta memaknakan dua unsur, iaitu air mata dan perjuangan.

Mungkin penulis tidak menyedari keunikan kata yang digunakan dengan konteks cerita tetapi pemilihan kata itu membawa kesan pada pemaknaannya.

Begitu juga halnya dengan ungkapan “pelangi terbit di langit merdeka” amat selari dengan situasi selepas hujan maka muncullah pelangi.

Keupayaan penulis menjalinkan emosi dengan situasi sebegini wajar dipuji. Dua ungkapan dalam rangkap pertama sudah memperlihatkan sajak ini mempunyai gaya yang menarik dalam penulisannya.

Rangkap kedua sajak ini jelas memanfaatkan simbolisme yang mudah tetapi membawa gagasan yang berwibawa. Elemen warna disepadukan dengan perumpamaan pelangi yang membawa pemaknaan pada setiap warna sebagai gagasan kesatuan, kebersamaan dan perpaduan.

Walaupun ada ungkapan langsung seperti “dalam satu rentak baharu”, namun ungkapan “menyulam wajah bangsa” menjadi ikatan maksud yang menyerlahkan nilai puitisnya terhadap ungkapan yang langsung tersebut.

Rangkap seterusnya , iaitu rangkap ketiga, penulis bijak memanfaatkan sajak gaya dialog untuk menukar mood naratif. Kaedah ini juga menarik sebagai gaya membina perspektif terhadap naratif sajak ini.

Ungkapan dialog “itulah Malaysia” dijadikan gagasan utama dalam sajak ini, tetapi digambarkan dengan pelangi yang tidak dinyatakan secara langsung. Sebaliknya, digambarkan dengan “indah kerana berbeza, teguh kerana bersama”.

Pada rangkap terakhir, penulis membawa suatu gagasan dalam falsafah yang utuh melalui dua ungkapan yang menarik dan segar, iaitu “ia wujud dari cahaya berpadu” dan “menukar luka menjadi rindu”.

Tahniah kepada penulis sajak ini kerana mampu menghasilkan sebuah sajak yang baik, menarik dan memberi kesan pada pembacaan.

Sajak kedua yang akan kita teliti dan bincangkan bersama-sama ialah sajak berjudul “Jejak yang Masih Bernafas”. Sajak ini juga menarik dan baik walaupun agak panjang. Namun kelemahan yang agak ketara dalam sajak ini ialah pengulangan ungkapan yang kurang bermanfaat di samping ungkapan yang drastik kerana ingin membawa semangat dalam kata-kata yang digunakan. Kita perhatikan keseluruhan sajak ini;

Di bumi yang tidak pernah tidur ini,

aku berdiri antara bayang sejarah dan denyut masa depan,

mendengar bisik waktu

yang tidak pernah benar-benar hilang dari tanah ini.

Warisan ini adalah darah

yang mengalir senyap dalam nadi bangsa,

mengingatkan aku bahawa sebelum ini,

pernah ada tangan yang berjuang,

pernah ada jiwa yang tidak menyerah pada gelap sejarah.

Aku menatap bangunan tua

retak dimamah usia,

namun masih teguh berdiri

seperti seorang tua yang enggan tunduk pada lupa,

menyimpan seribu cerita

tentang air mata, tentang keberanian,

tentang sebuah tanah

yang diuji zaman.

Aku berdiri,

sebagai penjaga yang tidak bersuara.

memikul amanah yang tidak tertulis di mana-mana buku,

jika bukan kita yang menjaga,

siapa lagi yang akan mengingatnya?

Generasi di hadapanku berjalan laju

mengejar dunia yang tidak pernah berhenti,

dalam langkah itu, aku berharap

mereka tidak kehilangan tanah yang melahirkan mereka.

Dan jika suatu hari nanti,

semua ini hanya tinggal nama di bibir sejarah,

biarlah ada satu jiwa yang masih mengingati,

bahawa kita pernah punya akar,

kita pernah punya cerita,

dan kita pernah punya tanah

yang mengajar kita erti menjadi manusia.

Kerana warisan negara ini

tidak pernah benar-benar mati,

ia hanya menunggu untuk terus dihidupkan

oleh mereka yang masih percaya.

Pada rangkap pertama, permulaan ungkapan agak drastik tetapi masih boleh digunakan, hanya hilang kehalusan sajaknya, iaitu “di bumi yang tidak pernah tidur ini”. Permulaan ini merencatkan wibawa ungkapan lain pada baris kedua, ketiga dan keempat. Bayangkan kalau rangkap pertama bermula dengan penambahbaikan seperti ini;

                Aku berdiri antara bayang

                dalam denyut masa depan

                dan hanya mendengar bisik

                pada tanah yang tidak pernah

                benar-benar hilang di bumi ini

Rangkap kedua, penulis membuat kesinambungan ungkapan untuk membina naratif pada kesan sejarah. Gaya ini sesuai kerana diperhalus dengan penggunaan kata yang munasabah.

Sebagai contoh, kata “darah” menarik digunakan kerana adanya kata “mengalir”. Begitu juga dengan penggunaan ungkapan “tangan yang berjuang” dan “jiwa yang tidak menyerah”. Hanya penggunaan kata “pernah” sebagai kata ulang yang kurang impak sebagai penegasan. Kalau tidak digunakan kata “pernah”, ungkapannya masih menarik.

Rangkap ketiga, penulis hanya meluahkan pandangan dengan meletakkan perumpamaan waktu melalui “bangunan tua” dan pada masa yang sama dimunculkan watak “seorang tua”.

Perumpamaan dan perwatakan ini boleh digunakan tetapi menmyebabkan rangkap pada sajak ini kurang puitis kerana menjadi ayat langsung yang drastik. Begitu juga pengulangan kata “tentang” yang tidak menunjukkan kesan ketegasan sebagai nilai pada naratif sajak.

Seterusnya, pada rangkap keempat dan kelima, penulis kehilangan tempo ungkapan sehingga jelas kelangsungan ungkapan tanpa ada metafora mahupun perumpamaan yang boleh menjadi sifat ungkapan sajak.

Ungkapan yang jelas sebagai ungkapan langsung seperti “jika bukan kita yang menjaga, siapa lagi yang akan mengingatnya”. Begiju juga ungkapan “mengejar dunia yang tidak pernah berhenti, dalam langkah itu, aku berharap”.

Ungkapan langsung sebegini menyebabkan alir bacaan sebagai sebuah sajak terganggu dan sajak menjadi kurang estetika bahasanya. Tidak salah, tapi kurang puitis.

Pada rangkap keenam, ungkapan “bahawa kita pernah punya akar” sewajarnya dijadikan alir naratif yang lebih menarik seperti mengaitkannya dengan pohon, daun, ranting dan sebagainya sesuai dengan imej yang mewajarkannya dalam satu rangkap.

Kemudian, pada rangkap ketujuh, penulis sudah hilang fokus untuk menampakkan falsafahnya yang paling wajar tentang “jejak yang masih bernafas” sebab sajaknya berakhir dengan harapan melalui ungkapan “menunggu untuk terus dihidupkan, oleh mereka yang masih percaya”. Persoalannya, adakah “jejak” hanya memerlukan persinggahan atau penerusan perjalanan?

Sajak juga memerlukan konsep penceritaan agar segala konteks kata yang digunakan membawa arah tuju mesej, bersesuaian dengan cara sajak diceritakan. Kalau tidak, sajak akan menjadi keliru untuk membina pemaknaan terutamanya hal-hal yang tersirat sebagai wadah pemikiran. Sajak ini baik pada temanya tetapi kurang tuntas dalam pemilihan kata untuk membina susunan ceritanya.

Sajak seterusnya berjudul “Ragu Penulis Pemula”. Sajak ini menarik dan baik walaupun judulnya tidak menjentik rasa ingin membaca kerana terlalu langsung dan drastik. Tetapi apabila membaca terutamanya rangkap pertama dan kedua, sajak ini menampakkan wibawanya tersendiri. Perhatikan keseluruhan sajak ini;

Di sudut bilik, di atas meja seni

hujan deras melimpahkan idea

mengetuk bumbung-bumbung fikiran

meneroka dimensi baru yang ingin diselami.

Angin menerpa membuka medan intuisi

melakar segenap ruang makna

bergaul dengan tinta pengalaman

diadun bersama imaginasi

hingga sebati, membentuk sebuah ceritera.

Tika petir menyambar jiwa

memancar ragu bergaung sangsi

sempurnakah setiap lantunan aksara?

layakkah gagasan ini dijamu?

wajarkah cerita ini kupersembahkan?

berbaloikah untuk disentuh rasa?

Keupayaan penulis sajak ini memperlihatkan situasi sebagai imej dalam pemilihan kata menjadikan sajak ini ada naratif yang menarik. Sebagai contoh, perumpamaan melalui kata “hujan” sebagai idea yang “mengetuk bumbung-bumbung fikiran” begitu segar dan bernas.

Hanya lebih baik kata “mengetuk” diganti dengan kata lebih puitis seperti “menerjah” atau “menitip” pasti ungkapan tersebut menjadi lebih indah dan halus.

Rangkap kedua sajak ini paling kompleks dalam pengungkapannya kerana suasana atau situasi menjadi inspirasi naratifnya melalui kata jalin seperti “medan intuisi”, “ruang makna”, dan “tinta pengalaman” yang segar dan memberi pemaknaan mendalam tentang kesan dan impak naratif. Sepatutnya, gabung jalin perkataan sebegini perlu dimanfaatkan pada rangkap seterusnya.

Rangkap ketiga, ungkapan “tika petir menyambar jiwa” terlalu drastik dan keras. Tidak sehalus ungkapan “memancar ragu bergaung sangsi” walaupun kata “bergaung” kurang tepat, sepatutnya boleh menggunakan kata “bergaul” atau “berbaur”.

Gaya empat baris terakhir yang meletakkan pertanyaan sebagai pengakhiran sebuah sajak yang baik sebegini menyebabkan sajak ini kurang wibawa kerana kalah dalam usaha mencetuskan pemikirannya.

Sajak bukan ruang untuk meluahkan rasa yang tidak ada pemikiran. Sajak itu sendiri pemikiran dan perasaan. Oleh yang demikian, sajak perlu mendahului pemikiran dan dibaluti dengan perasaan sebagai emosi naratif.

Asasnya, pilih perkataan paling sesuai dan tepat untuk memperlihatkan pemikiran dan perasaan tersebut sebagai gagasan yang hendak dilontarkan atau diketengahkan oleh penulis, bukan hanya meluahkan tanpa arah tuju.

Kepada ketiga-tiga penulis sajak yang dibincangkan, tahniah dan syabas kerana sudah mampu melahirkan atau menghasilkan sajak yang baik. Perlu banyak membaca sajak-sajak lain khususnya oleh mereka yang sedia sohor dalam penulisan sajak untuk memahami gaya kepengarangan mereka dan mengethaui dan memahami kenapa mereka memilih kata tertentu untuk dijadikan bahasa sajaknya.

Oleh Ja’afar Haji Hamdan

Puisi

Pelangi Malaysia, Warna Perpaduan Sesudah hujan darah reda di dada sejarah, pelangi terbit di langit merdeka. merahnya nyala semangat wira,

Misteri Penjaga Rimba Purba

MALAM melabuhkan tirainya, membalut gelap belantara dengan seribu rahsia. Di celah-celah pokok besar tersembunyi ilmu dan bisikan roh purba. Gabungan

IPU Serian 518, tahap sangat berbahaya

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di IPD Serian kekal pada paras 518 dan dikategorikan sebagai sangat berbahaya setakat 10.00

Pemilihan Kata yang Menjadi dalam Sajak

APABILA memperkatakan sajak, fokus utamanya tentu sahaja tentang pemilihan kata. Walaupun tema menjadi asas pemikiran sesebuah sajak dilahirkan, pemilihan kata