Tawaran tender palsu, lelaki 62 tahun rugi RM161,400

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun kerugian RM161,400 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran tender palsu secara dalam talian bagi membekalkan Stesen Kuasa Mudah Alih Anker Solix F3800.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata mangsa menerima e-mel daripada individu tidak dikenali pada 11 Ogos lalu yang menawarkan tender membekalkan barangan tersebut kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) Cawangan Sri Aman.

Mangsa kemudian diberikan nombor telefon pembekal bagi memudahkan urusan tempahan sebelum membuat empat transaksi pindahan wang ke dua akaun bank berbeza antara 11 hingga 19 Ogos.

Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas menghubungi JPSPN Sri Aman dan dimaklumkan bahawa terdapat pihak lain yang menggunakan nama serta cop Majlis Daerah Sri Aman untuk melakukan penipuan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Polis menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terhadap syarikat dan laman sesawang sebelum melakukan sebarang transaksi.

Mangsa yang baru membuat pindahan wang kepada akaun suspek dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan nombor telefon dan akaun bank mencurigakan melalui portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Oleh Connie Chieng

Lelaki positif dadah ditahan di Bau

BAU: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam saringan awal air kencing