KUCHING: Lima bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelahiran Sarawak yang menerima pengiktirafan atas keberanian luar biasa dalam mempertahankan keselamatan negara antara tokoh yang diketengahkan menerusi Program Jelajah Wira Madani Kontinjen Sarawak 2026.
Wira berkenaan terdiri daripada bekas Pesuruhjaya Polis, Datuk Mancha Ata; bekas Sub-Inspektor Mohamad Salim; bekas Asisten Superintenden Wilfred Gomez Malong; bekas Sub-Inspektor Ngalinuh Bala @ Kilah Atu; dan bekas Koperal Etim Jam.
Mancha menyertai PDRM pada 1986 dan pernah berkhidmat dalam pasukan elit komando VAT 69.
Beliau dianugerahkan Pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) pada 2014 atas keberanian luar biasa sebagai pegawai risikan ketika Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah pada 2013.
Mohamad Salim dari Simanggang pula menerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1977 selepas berani mengambil alih kepimpinan ketika pasukannya diserang hendap pengganas komunis di Hutan Keramat Pulai, Ipoh pada 1976.
Ketika kejadian itu, beliau masih berpangkat rekrut polis.

Wilfred Gomez Malong, anak jati Iban dari Betong, menyertai pasukan polis pada 1969 dan menerima PGB pada 1974 selepas terlibat dalam pertempuran dengan pengganas komunis di Ulu Poi, Kanowit pada 1973.
Beliau yang ketika itu berusia 24 tahun merupakan antara penerima PGB termuda.
Ngalinuh Bala, anak jati Kelabit dari Pa’ Lungan, Bario, menerima Darjah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) pada 1972 selepas mengetuai usaha mematahkan serangan hendap komunis terhadap konvoi yang membawa bahan letupan untuk pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) di Ulu Oya, Sibu.
Walaupun ditembak di paha, beliau terus bertempur sehingga pihak musuh berundur.
Etim Jam, anak jati Iban dari Lubok Antu, turut menerima SP pada 1972 atas keberaniannya dalam serangan hendap sama di Ulu Oya.
Dalam kejadian itu, beliau bersama Ngalinuh menyerang kedudukan musuh dan membantu menyelamatkan konvoi berkenaan.
Kelima-lima wira itu meneruskan khidmat dalam pasukan polis sebelum bersara.
Ngalinuh meninggal dunia pada 2020 pada usia 79 tahun, manakala Etim meninggal dunia pada 2024 pada usia 83 tahun. Jenazah Etim dikebumikan di Makam Pahlawan, Kuching.
Oleh Connie Chieng




