KUALA LUMPUR: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma kepada rakyat Malaysia yang layak menerusi Program PeKa B40 2026 bersempena kempen “Malaysia, Jom Check!”.
Dalam kenyataan hari ini, ProtectHealth memaklumkan program saringan kesihatan komuniti di seluruh negara pada 5 hingga 6 September itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia memeriksa status kesihatan mereka.
Menurut kenyataan itu, Program PeKa B40 2026 juga untuk menggalakkan rakyat membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengesan masalah tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol pada peringkat awal sebelum menjadi lebih serius.
“Antara pemeriksaan yang akan disediakan ialah mengukur tekanan darah, ketinggian dan berat badan, pengambilan sampel darah serta konsultasi bersama doktor.
“Program ini digalakkan terutamanya kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 yang berumur 40 tahun dan ke atas atau pasangan berdaftar kepada penerima STR yang berumur 40 tahun dan ke atas namun penerima PeKa B40 secara automatik layak untuk hadir ke program ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan program itu bakal diadakan di lokasi terpilih di negeri Selangor, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Sarawak.
Penerima yang layak hanya diperlukan membawa Kad Pengenalan (MyKad) sebagai langkah mudah untuk membuat semakan kelayakan, dan tiada pendaftaran atau puasa diperlukan sebelum hadir membuat saringan.
Rakyat Malaysia yang tidak pasti sama ada mereka layak atau tidak mengikuti program tersebut dinasihatkan melayari https://kelayakan.pekab40.com.my/semakan-kelayakan.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan berkaitan Malaysia, Jom Check! x PeKa B40 2026, sila hubungi info@protecthealth.com.my melalui e-mel atau layari www.pekab40.com.my. – Bernama




