Empat atlet Olimpik Khas Sarawak galas cabaran negara di Hong Kong

Facebook
WhatsApp
SIDANG MEDIA... Dato Sri Fatimah Abdullah bersama kontinjen Olimpik Khas Sarawak pada sidang media pelepasan kontinjen Olimpik Khas Sarawak mewakili Olimpik Khas Malaysia ke Pertandingan Boling Serantau Asia Timur 2026 di Hong Kong.

PETRA JAYA: Empat atlet Olimpik Khas Sarawak (SO Sarawak) bakal menggalas cabaran negara apabila menyertai kontinjen Olimpik Khas Malaysia (SO Malaysia) pada Pertandingan Boling Serantau Asia Timur 2026 di Hong Kong yang bermula esok hingga 7 September.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penyertaan itu bukan sekadar memberi peluang kepada atlet beraksi di peringkat antarabangsa, malah menjadi platform untuk mereka membina keyakinan, mengembangkan potensi dan menjalinkan persahabatan.

Beliau berkata, Olimpik Khas memberi peluang kepada individu yang mempunyai ketidakupayaan intelek untuk terlibat dalam aktiviti sukan secara berterusan sepanjang tahun.

RAKAM KENANGAN… Kontinjen Olimpik Khas Sarawak merakam kenangan bersama Dato Sri Fatimah Abdullah, selepas sidang media pelepasan kontinjen ke Pertandingan Boling Serantau Asia Timur 2026 di Hong Kong.

“Bagi Olimpik Khas, kalau sudah berani tampil ke hadapan untuk menjadi atlet SO itu, itu sudah jadi kejayaan. Sebab ada orang, dia tidak berani tampil ke hadapan.

“Jika kamu dapat tampil ke hadapan dan menyertai Olimpik Khas, itu dianggap sebagai satu kejayaan,” katanya pada sidang media pelepasan kontinjen Olimpik Khas Sarawak mewakili Olimpik Khas Malaysia ke Pertandingan Boling Serantau Asia Timur 2026 di Bilik Mesyuarat Meluar, Tingkat 8, Bangunan Baitul Makmur II, di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, falsafah Olimpik Khas ialah Biarlah saya menang, atau biarlah saya berani mencuba, yang menekankan keberanian dan penyertaan atlet selain pencapaian dalam pertandingan.

Katanya, atlet juga digalakkan menggunakan peluang tersebut untuk berkenalan dengan peserta dari negara lain dan meneruskan persahabatan selepas tamat pertandingan.

“Bukan hanya tentang kemenangan, tetapi juga tentang membuat kawan. Ini penting kerana ia akan meningkatkan kualiti kehidupan kita,” katanya.

Empat atlet SO Sarawak yang akan mewakili Malaysia ialah Mohamad Najib Salmi, Nelson Donny Sunny dan Siti Hamidah Sabri dari SO Kuching, serta Vanessa Nisha Siok dari SO Miri.

Kontinjen Sarawak turut disertai Dayang Mariani Abang Zain selaku pengurus pasukan, Chen Hui Se sebagai jurulatih dan Mahamad Rizuan Madzhi sebagai rakan sepasukan Rakan Sukan Bersepadu (Unified Partner).

Menurut Fatimah, kontinjen Malaysia terdiri daripada empat atlet SO Sarawak dan empat atlet SO Selangor, masing-masing disokong dua jurulatih dari setiap negeri.

Beliau berkata, pemilihan atlet untuk mewakili negara turut melalui proses perkembangan dan penilaian prestasi berdasarkan penyertaan dalam pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Permainan Antarabangsa (National Games) akan membolehkan kita melihat prestasi dan daripada itu pemilihan untuk peringkat yang seterusnya. Itu adalah daripada perkembangan seseorang atlet,” katanya.

Dalam pada itu, Dayang Mariani berkata pertandingan berkenaan dianjurkan susulan acara boling tidak dipertandingkan dalam Olimpik Khas Sukan Dunia pada tahun ini.

Beliau berkata, pertandingan serantau itu menghimpunkan peserta dari Hong Kong selaku tuan rumah, China, Macau, India, Chinese Taipei, Singapura, Jerman dan Malaysia.

Menurutnya, acara yang dipertandingkan merangkumi perseorangan, beregu dan Sukan Bersepadu (Unified Sports), yang menggabungkan atlet Olimpik Khas bersama rakan sepasukan tanpa ketidakupayaan intelek.

Sebelum pertandingan bermula, atlet turut akan menjalani Program Kesihatan Atlet (Program Healthy Athletes) pada 5 September bagi menjalani saringan kesihatan sebagai sebahagian daripada program Olimpik Khas.

Pertandingan boling pula akan bermula pada 6 September dengan acara beregu, diikuti acara beregu, perseorangan dan Sukan Bersepadu pada 7 September.

Kontinjen dijadualkan turut mengadakan lawatan ke Ocean Park pada 8 September sebelum kembali ke Malaysia pada 9 September.

Fatimah berkata, penyertaan atlet Sarawak di peringkat serantau itu turut mencerminkan komitmen negeri dalam memperkasakan sukan inklusif serta membuka lebih banyak peluang kepada individu berkeperluan khas untuk menceburi bidang sukan.

“Ini adalah cara bagaimana kita memperkasakan anak-anak dan atlet kita melalui sukan.

“Kita mempunyai sesuatu untuk dibanggakan apabila dapat menyertai pasukan dan mewakili Malaysia. Itu sesuatu yang kamu semua patut banggakan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, jurulatih, sukarelawan dan semua pihak yang memberi sokongan terhadap penglibatan atlet dalam Olimpik Khas.

Fatimah berkata, SO Sarawak kini mempunyai beberapa cawangan termasuk Kuching, Samarahan, Sibu, Miri dan Bintulu, manakala jawatankuasa interim bagi penubuhan SO Mukah juga telah diwujudkan.

Oleh Shikin Mahmud