Kawasan IPD Serian, Sarawak rekod bacaan IPU tahap bahaya pagi ini

Facebook
WhatsApp
STESEN pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya iaitu 345 setakat 9.30 pagi ini. Empat lagi kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat.

KUALA LUMPUR: Stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya dengan bacaan 345 setakat 9.30 pagi ini.

Semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mendapati empat lagi kawasan di negeri itu mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat.

Empat kawasan itu ialah Sri Aman dengan bacaan IPU (294), Kuching (273), Samarahan (255) dan Sarikei (223).

Sebanyak 15 lokasi iaitu lapan di Sarawak, lima (Sabah) dan masing-masing satu di Labuan dan Negeri Sembilan pula merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.

Di Sarawak, lapan lokasi merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Sibu (188), Bintulu (175), Kapit (174), Mukah (171), Samalaju (167), Limbang (155), ILP Miri (153) dan Miri (125).

Di Sabah, bacaan IPU tidak sihat direkodkan di Politeknik Kota Kinabalu (165), diikuti Kimanis (164), Keningau (164) dan Kota Kinabalu (163), manakala Labuan (160) dan Nilai, Negeri Sembilan (110).

Sementara itu, 45 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana, manakala tiga kawasan mencatatkan bacaan baik.- Bernama