Tiga penunggang aksi ‘Superman’ ditahan selepas video tular

Facebook
WhatsApp
ANTARA penunggang yang ditahan.

BAU: Polis menahan tiga penunggang motosikal selepas video berdurasi kira-kira 40 saat memaparkan aksi tunggangan berbahaya di Jalan Bau-Batu Kawa tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, rakaman itu menunjukkan tiga penunggang motosikal dipercayai bersaing sesama sendiri sambil melakukan pelbagai aksi berbahaya di jalan raya.

“Antara aksi yang dirakam ialah posisi ‘Superman’, iaitu penunggang meniarap di atas motosikal dengan kedua-dua kaki diluruskan ke belakang ketika motosikal sedang bergerak,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan video berkenaan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Bau menjalankan tindakan pengesanan terhadap ketiga-tiga penunggang terbabit.

“Seorang penunggang berjaya dikesan dan ditahan, manakala dua lagi kemudiannya hadir menyerah diri di Pejabat BSPT IPD Bau,” katanya.

Kesemua tiga individu itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis bagi membantu siasatan.

Dua daripada penunggang terbabit didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah dan telah dikenakan tindakan saman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Haide mengingatkan pengguna jalan raya bahawa jalan awam bukan litar perlumbaan dan menasihatkan penunggang supaya tidak mempertaruhkan nyawa demi aksi yang kelihatan “hebat” di media sosial.

Oleh Connie Chieng

Lelaki positif dadah ditahan di Bau

BAU: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam saringan awal air kencing