SRI AMAN: Sebuah lori terbakar di bahagian kabin sehingga musnah sepenuhnya dalam kejadian di Lebuh Raya Pan Borneo Serian-Sri Aman berhampiran Simpang Jaong, malam ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.40 malam.
Sejurus menerima laporan, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman diketuai Komander Operasi, PBK I Edwin Jonani, digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah lori dengan bahagian hadapan atau kabinnya terbakar sepenuhnya.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan bekalan air daripada pam jentera.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya sebelum kerja-kerja pemeriksaan lanjut dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
Dalam kejadian itu, pemandu lori dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi membantu pengurusan kejadian.
Oleh Adi Safarman




