KUCHING: Lubok Antu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak dengan 358, meningkat daripada 331 pada 12.00 tengah hari, sekali gus kekal pada tahap berbahaya setakat 4.00 petang hari ini.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Kuching turut kekal pada tahap berbahaya dengan bacaan 309, berbanding 311 pada 12.00 tengah hari.
IPD Serian (MCAQM) pula mencatatkan peningkatan bacaan daripada 305 kepada 325 dalam tempoh sama.
Sementara itu, beberapa kawasan lain turut merekodkan perubahan bacaan, antaranya Samarahan yang meningkat daripada 284 kepada 287, Sri Aman daripada 226 kepada 247 dan Betong daripada 194 kepada 200.
Lundu pula mencatatkan penurunan daripada 315 kepada 257, manakala Sarikei turun daripada 267 kepada 256, Sibu daripada 270 kepada 248 dan Mukah daripada 221 kepada 205.
Bagi kawasan lain, Kapit merekodkan bacaan 190, Bintulu (192), Samalaju (172), Miri (166), ILP Miri (170), Limbang (169) dan Lawas (186), yang semuanya berada pada tahap tidak sihat.
Bacaan IPU di Bario pula menurun daripada 147 kepada 92 dan kini berada pada tahap sederhana.
Tebedu turut mencatatkan penurunan bacaan daripada 261 kepada 246, manakala Kanowit turun daripada 316 kepada 299.
Setakat 4.00 petang, tiga kawasan iaitu Lubok Antu (358), IPD Serian (325) dan Kuching (309) berada pada tahap berbahaya, manakala Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Lundu, Tebedu dan Kanowit berada pada tahap sangat tidak sihat.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan kualiti udara yang masih kurang baik di beberapa kawasan di Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud




