Kebakaran belukar 0.20 hektar di Taman Harmoni berjaya dipadam bomba

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar dianggarkan seluas kira-kira 0.20 hektar di Jalan Taman Harmoni, di sini, berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba malam tadi. Foto BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Kebakaran belukar dianggarkan seluas kira-kira 0.20 hektar di Jalan Taman Harmoni, di sini, berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba malam tadi.

Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.59 petang.

Susulan itu, sepasukan anggota bersama sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) Scania dan sebuah pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi dengan diketuai PBK II Abang Sarkawi selaku Komander Operasi.

Setibanya di lokasi, pasukan bomba mengesahkan berlaku kebakaran belukar dengan keluasan kira-kira 0.20 hektar.

Bagi mengawal keadaan, anggota bomba lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu, dengan bekalan air dipam terus dari tangki jentera.

Usaha pantas pasukan bomba berjaya memadamkan api sepenuhnya, sekali gus mengelakkan kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

Operasi pemadaman selesai selepas keadaan di lokasi didapati selamat dan terkawal.

Oleh Adi Safarman