JKM, JBALB salur bekalan air ke kawasan terjejas kemarau

Facebook
WhatsApp
DITEMUI MEDIA… Dato Sri Fatimah Abdullah ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Sarawak Women at Work Bahagian Samarahan, hari ini. Foto UKAS

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 750 kotak air minuman disalurkan kepada 375 mangsa melibatkan 94 keluarga di dua kampung yang terjejas akibat kemarau di Sarawak setakat 31 Ogos lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penghantaran bekalan air itu dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dengan penyelarasan bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Berdasarkan Laporan Penghantaran Air Bersih Musim Kemarau 2026, sebanyak 670 kotak disalurkan kepada 84 keluarga melibatkan 335 mangsa di Kampung Pasir Hilir, Biawak, Lundu, manakala 80 kotak lagi kepada 10 keluarga melibatkan 40 mangsa di Rumah Pemilik, Sungai Pala, Lingga.

“Bantuan diberikan terutama kepada kawasan yang terjejas akibat kemarau, termasuk mereka yang bergantung kepada air hujan atau sistem bekalan air secara graviti,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Sarawak Women@Work Bahagian Samarahan di sini, hari ini.

Fatimah berkata, keadaan kemarau turut menyebabkan paras air sungai di sesetengah kawasan semakin berkurangan dan keadaan itu berpotensi menjejaskan sumber bekalan air, khususnya di kawasan yang bergantung kepada sistem bekalan air secara graviti.

Katanya, penurunan paras air di kawasan pengambilan air mentah terutama ketika air surut juga boleh menyebabkan jumlah air yang dapat dirawat berkurangan, sekali gus menjejaskan bekalan untuk disalurkan kepada pengguna.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk yang menghadapi masalah bekalan air supaya memaklumkannya kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat bahagian atau daerah bagi membolehkan penghantaran bantuan sewajarnya diselaraskan.

Dalam pada itu, Fatimah berharap usaha pembenihan awan dapat membantu memperbaiki keadaan dengan kawasan tadahan air diberi keutamaan memandangkan ia merupakan sumber penting bekalan air kepada penduduk.

Oleh Norman B