ISTANBUL: Perancis akan mengenakan penalti kewangan mulai Selasa terhadap produk fesyen ultra-pantas yang dijual oleh platform termasuk Shein, Temu dan AliExpress, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar Perancis RMC-BFM.
Langkah itu, yang merupakan sebahagian daripada undang-undang membanteras fesyen pantas yang diluluskan pada musim panas ini, akan dikenakan terhadap produk yang diklasifikasikan sebagai fesyen ultra-pantas berdasarkan skor alam sekitar yang dikira menggunakan faktor termasuk jumlah produk yang dipasarkan serta tahap produk berkenaan boleh diperbaiki.
Penalti itu pada awalnya berjumlah €0.50 (AS$0.58) bagi pakaian dalam, €6 (AS$7) bagi baju, €9 (AS$10.50) bagi seluar jeans dan €12 (AS$14) bagi jaket.
Menjelang 2030, jumlah itu akan meningkat masing-masing kepada €2 (AS$2.33), €8.25 (AS$9.63), €17.25 (AS$20.13) dan €19.50 (AS$22.75).
Penalti itu dihadkan kepada 50 peratus daripada harga jualan sesuatu produk.
Langkah berkenaan menyasarkan jenama yang memasarkan lebih 16,000 rujukan produk setiap musim merentasi lima kategori.
Shein, yang memasarkan lebih 1.7 juta rujukan produk setiap tahun, terjejas secara langsung oleh kriteria itu, walaupun namanya tidak dinyatakan secara khusus dalam undang-undang berkenaan.
Jenama fesyen pantas termasuk Primark, Zara, Uniqlo dan H&M tidak akan dikenakan penalti berdasarkan kriteria semasa.
Caj akan dikenakan terhadap syarikat, yang boleh memilih sama ada untuk memindahkan kos berkenaan kepada pengguna melalui kenaikan harga atau mengenakannya sebagai caj berasingan ketika pembayaran.
Langkah itu susulan pengenaan caj terhadap bungkusan kecil yang berkuat kuasa di Perancis pada Julai. – Bernama




