LONDON, United Kingdom: David Beckham berkata legasi Lionel Messi akan “kekal selamanya” selepas legenda Argentina itu mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa.
Messi semalam mengumumkan bahawa beliau menamatkan karier cemerlangnya bersama Argentina selepas membuat 207 penampilan dan menjaringkan 125 gol.
Pemain berusia 39 tahun itu memenangi Piala Dunia 2022 di Qatar, manakala penampilan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan adalah ketika Argentina tewas kepada Sepanyol pada perlawanan akhir Piala Dunia pada Julai.
Kecemerlangan Messi bersama Argentina dan Barcelona menjadikannya antara pemain terbaik dunia sepanjang zaman.
Bekas kapten England, Beckham, menyaksikan sendiri perjalanan karier Messi, sama ada sebagai lawan mahupun kini sebagai pemilik bersama kelab yang diwakili penyerang itu, Inter Miami.
“Ini adalah saat untuk kita menoleh ke belakang dan menyedari betapa bersyukurnya kita kerana dapat menyaksikan kehebatan seorang anak muda yang mempunyai impian,” tulis Beckham menerusi Instagram hari ini.
“Leo, anda telah menjadi kebanggaan kepada diri sendiri, keluarga, rakan-rakan dan negara anda. Anda memimpin melalui teladan serta memberi inspirasi kepada jutaan kanak-kanak bukan sahaja di Argentina, malah di seluruh dunia.
“Leo, anda telah menghadiahkan anugerah terhebat kepada negara anda dan atas sebab itu, legasi anda akan kekal selamanya. Tahniah atas segala pencapaian anda bersama Argentina.” – AFP



