KUCHING: Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama serantau dalam aspek perlindungan, penguatkuasaan dan pemuliharaan hidupan liar menerusi Program Pertukaran Berpasangan GWP Malaysia–Thailand 2026 yang berlangsung dari 25 hingga 28 Ogos lalu di Bangkok dan Chonburi, Thailand.
Program itu menghimpunkan pegawai serta agensi dari kedua-dua negara bagi berkongsi pengalaman, pengetahuan teknikal dan amalan terbaik dalam bidang perlindungan serta pemuliharaan hidupan liar.
Antara bidang yang diberi tumpuan termasuk forensik hidupan liar, kawalan jenayah hidupan liar dan penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan CITES serta Sistem Rondaan SMART.
Turut diberi perhatian ialah aspek kuarantin haiwan dan kawalan sempadan, pemeriksaan kastam, pengurusan kawasan perlindungan serta pengurusan habitat dan pemuliharaan burung air.
Program itu turut merangkumi sesi teknikal, perbincangan dan soal jawab, pertukaran pengetahuan secara interaktif serta lawatan lapangan ke beberapa lokasi berkaitan.
Antara lokasi yang dilawati ialah Pusat Makmal Forensik Hidupan Liar (WIFOS), Pusat Perisikan Jenayah Hidupan Liar (WCC), Pusat Pemantauan Rondaan SMART, Stesen Kuarantin Haiwan, Pejabat Pemeriksaan Kastam Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Pejabat Wilayah Kawasan Perlindungan 2 (Sriracha) dan Pusat Pembiakan Burung Air Bang Phra.
Selain pertukaran teknikal, program itu turut menjadi platform untuk memperkukuh jaringan profesional, meningkatkan persefahaman serta mengenal pasti peluang kerjasama pada masa hadapan dalam usaha membanteras jenayah hidupan liar.
Kerjasama itu diharap dapat menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti serta memperkukuh perlindungan hidupan liar secara lebih berkesan di rantau ini.





