Kelab Taekwondo Tunas Mukah cemerlang di Kota Kinabalu, bawa pulang 11 pingat

Facebook
WhatsApp
KELAB Taekwondo Tunas Mukah mencatat pencapaian membanggakan apabila kesemua lapan peserta yang dihantar ke Kejohanan Jemputan Terbuka Kebangsaan SSTA 2026 berjaya membawa pulang pingat. Foto: Kelab Taekwondo Tunas Mukah

MUKAH: Kelab Taekwondo Tunas Mukah mencatat pencapaian membanggakan apabila kesemua lapan peserta yang dihantar ke Kejohanan Jemputan Terbuka Kebangsaan Persatuan Taekwondo Negeri Sabah (SSTA) 2026 berjaya membawa pulang pingat.

Pengerusi pasukan Kelab Taekwondo Tunas Mukah, Zaidi Morshidi berkata, pencapaian itu amat menggembirakan kerana kesemua atlet berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam persaingan yang menghimpunkan 369 peserta dari beberapa negeri.

Menurutnya, pasukan Mukah yang disertai lapan peserta dan tiga pegawai berjaya mengumpul keseluruhan 11 pingat, terdiri daripada lima emas, empat perak dan dua gangsa.

“Saya sangat berpuas hati kerana semua peserta berjaya membawa pulang pingat. Ini menunjukkan usaha dan latihan yang dilakukan membuahkan hasil,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Dalam kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Wisma Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah, Kota Kinabalu itu, Dayangku Aleesya Hanan Awgku Hafizie muncul sebagai antara penyumbang emas selepas meraih memenangi kategori Lawan Bebas Individu Tali Pinggang Berwarna bagi peserta berusia lapan tahun ke bawah bagi Sarawak.

Pingat emas turut disumbangkan Arianna Rayfa Arnald Roy dalam acara sparring bawah enam tahun, Rifqi Rosidi dalam acara terbuka pattern, serta Siti Shahrizah Zaidi yang cemerlang dalam acara sparring terbuka kategori hyper weight dan pattern.

Sementara itu, pingat perak diraih Hariz  Junaidi dalam sparring bawah 12 tahun, Rifa Rosidi dalam sparring 14 hingga 15 tahun serta Muhammad Syahmin Zaidi yang memperoleh perak dalam acara sparring dan pattern tali pinggang hitam terbuka.

Pingat gangsa pula disumbangkan Tengku Arifah Syathirah Tengku Arif menerusi acara pattern dan sparring micro weight tali pinggang hitam.

Zaidi berkata, kejohanan tersebut merupakan penyertaan kedua pasukan selepas mereka beraksi di kejohanan di Loudi, China, pada 10 hingga 15 Ogos lalu.

Katanya, penyertaan dalam kejohanan berprofil kompetitif seperti SSTA penting bagi memberi pendedahan kepada atlet, khususnya golongan muda, selain menguji tahap kemampuan mereka berdepan peserta dari negeri lain.

Kejohanan SSTA 2026 itu menyaksikan penyertaan atlet taekwondo dari Sabah, Perak, Selangor dan Sarawak, sekali gus mewujudkan persaingan sengit dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Beliau turut menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform penting untuk mencungkil dan mengembangkan bakat baharu dalam sukan taekwondo, khususnya atlet muda yang mempunyai potensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, Zaidi merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, atas sumbangan menaja pakaian kepada para peserta pasukan Kelab Taekwondo Tunas Mukah.

“Sokongan seperti ini amat bermakna kepada atlet dan pasukan kerana ia membantu meningkatkan semangat serta keyakinan mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Oleh Adi Safarman