SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan menyokong penuh kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah yang menggesa supaya pelaksanaan cadangan jajaran jalan yang menghubungkan Dalat ke Sibu dipercepatkan.
Pengerusinya, Kaunselor Kevin Lau berkata, cadangan jajaran berkenaan merupakan antara inisiatif penting kerajaan Sarawak yang mampu membuka akses lebih baik kepada penduduk di kawasan pedalaman serta merancakkan pembangunan di sepanjang laluan tersebut.
Menurutnya, berdasarkan perancangan yang diketahui, jajaran berkenaan akan menghubungkan Muara Kut ke Sungai Pinang, Bungan Besar dan seterusnya ke Rasau sebelum disambungkan ke Sibu.
“Pada minggu lalu, Fatimah telah menyatakan harapan supaya jajaran jalan yang dapat menghubungkan Dalat ke Sibu ini boleh dipercepatkan.
“Saya difahamkan ada rancangan untuk menghubungkan Muara Kut ke Sungai Pinang, Bungan Besar dan juga ke Rasau,” katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Salim Unang, Sungai Rasau, Batang Igan Tengah di sini, baru-baru ini.
Lau berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya gesaan tersebut kerana pembinaan jaringan jalan yang lebih baik diyakini mampu membawa pelbagai manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan, termasuk dari aspek mobiliti, ekonomi dan kemudahan asas.
Katanya, sekiranya diberi amanah oleh Premier Sarawak untuk memainkan peranan yang lebih besar bagi kawasan Bawang Assan, beliau akan bekerjasama dengan semua pihak untuk mempercepatkan usaha merealisasikan projek berkenaan.
“Saya juga akan berusaha supaya jalan daripada Rasau ke Rantau Panjang boleh dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata, usaha mempercepatkan pembangunan di kawasan terbabit memerlukan kerjasama erat semua pihak tanpa mengira kaum, agama mahupun parti politik.
Menurutnya, semua pihak dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan pembangunan dan kemudahan asas dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
Lau berkata, kejayaan pelaksanaan projek pemasangan lampu jalan di Rasau sebelum ini membuktikan bahawa kerjasama antara pemimpin, ketua masyarakat dan penduduk mampu menghasilkan pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
Katanya, projek berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM83,000 selepas permohonan yang dikemukakannya mendapat sokongan Presiden SUPP yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, sebelum diluluskan Premier Sarawak.
“Semua lampu jalan tersebut telah dipasang dan dilaksanakan dengan baik. Ini bukan atas usaha saya seorang, tetapi disebabkan kita mempunyai sokongan daripada semua penduduk dan Tuai Rumah di sini.
“Kita dapat membawa suara anda untuk menyampaikan permohonan bagi projek RTP khas ini, khususnya untuk kawasan Rasau,” katanya.
Lau turut menegaskan bahawa semangat perpaduan dan kerjasama perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan hak Sarawak dipertahankan serta pembangunan dapat dinikmati oleh semua komuniti.
“Rumah kita mesti kita jaga bersama-sama. Kita bukan sahaja bersama-sama menjaga Rasau, tetapi kita bersama-sama menjaga Bawang Assan.
“Yang lebih penting sekali, semangat perpaduan kita adalah untuk mempertahankan hak Sarawak supaya kita mempertahankan rumah kita dan Sarawak boleh menjadi lebih maju dan makmur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bawang Assan, Romeo Christopher Tegong dalam ucapannya berkata, beberapa kawasan termasuk Rasau, Tutus, Sebedil, Bungan Besar, Bungan Kecil dan Sungai Pinang masih berdepan kekurangan kemudahan asas.
Beliau berkata, cadangan pembinaan jalan dari Rantau Panjang ke Rasau serta dari Rasau ke Bungan dan Muara Kut masih dalam perancangan dan memerlukan sokongan berterusan bagi memastikan pembangunan dapat disalurkan kepada penduduk.
Menurutnya, penduduk di kawasan yang telah menikmati kemudahan asas juga perlu membantu memastikan kawasan yang masih ketinggalan mendapat perhatian sewajarnya.
“Kita harus berkorban dan membantu mereka mendapatkan pembangunan. Undilah orang yang dapat membawa pembangunan,” katanya.
Romeo turut menggesa penduduk supaya bersatu dalam menentukan sokongan politik bagi memastikan pembangunan dapat disalurkan ke kawasan yang masih kekurangan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Dalam pada itu, Tuai Rumah Salim dalam ucapan aluannya berkata, masyarakat setempat tidak seharusnya berpecah hanya disebabkan perbezaan politik kerana penduduk di peringkat akar umbi akhirnya menjadi pihak yang paling terkesan akibat pertelingkahan politik.
Beliau turut menggesa kira-kira 10 Tuai Rumah di kawasan Rasau supaya memainkan peranan lebih aktif dengan menyampaikan isu serta masalah yang dihadapi penduduk kepada pemimpin.
“Jangan takut kepada wakil rakyat kerana sokongan adalah daripada kita. Mereka menjadi wakil rakyat disebabkan sokongan kita dan kita yang menjadikan mereka wakil rakyat,” katanya.
Salim berkata, masyarakat Rasau juga perlu menggunakan pendekatan baharu dalam berpolitik dengan memberi keutamaan kepada usaha membangunkan kawasan yang masih jauh ketinggalan dari segi kemudahan asas.
Oleh Tarani Lanting





