BINTANGOR: Kepelbagaian budaya perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda kerana bukan sahaja mencerminkan identiti sesuatu kaum, malah menjadi jambatan yang memperkukuh persefahaman serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, budaya merupakan akar kepada sesuatu bangsa dan pada masa yang sama berperanan menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Katanya, pembangunan masyarakat tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut fizikal, sebaliknya perlu merangkumi usaha memelihara identiti, warisan dan keharmonian antara kaum.
“Persembahan seperti pertukaran wajah, muzik tradisional Cina, tarian singa dan gendang perayaan bukan sahaja memperlihatkan keindahan seni dan budaya Cina, malah menjadi jambatan bagi masyarakat pelbagai kaum untuk saling memahami dan menghargai antara satu sama lain,” katanya.
Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika merasmikan Malam Kebudayaan Chung Hua sempena Pesta Meradong 2026, baru-baru ini.

Malam Kebudayaan Chung Hua yang dilancarkan oleh Jawatankuasa Induk Pesta Meradong 2026 dan dianjurkan Persatuan Foochow Meradong menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan membabitkan persatuan berkenaan serta pelajar sekolah di sekitar Bintangor.
Program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila masyarakat sekitar Meradong yang hadir menyaksikan persembahan, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menghayati kepelbagaian seni dan budaya masyarakat Cina.
Huang menegaskan bahawa sebagai wakil rakyat, beliau sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan setiap kaum dan percaya bahawa sikap saling menghormati kepelbagaian budaya mampu membentuk komuniti yang lebih harmoni, bersatu dan mempunyai rasa kebersamaan.
“Penglibatan generasi muda dalam kegiatan kebudayaan juga penting bagi memastikan warisan yang diwarisi sejak turun-temurun tidak terhakis, selain membolehkan mereka memahami akar budaya sendiri.
“Setiap budaya mempunyai keunikan tersendiri dan kepelbagaian inilah yang menjadikan Malaysia, khususnya Sarawak, sebuah negeri yang kaya dengan identiti, keharmonian dan kekuatan masyarakat majmuk,” katanya.
Dalam pada itu, Huang merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dan komitmen kerajaan Sarawak dalam memelihara kepelbagaian budaya serta memastikan setiap kaum diberikan perhatian dan penghormatan sewajarnya.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha Persatuan Foochow Meradong bagi memperkasakan warisan budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, beliau turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada persatuan berkenaan.
Sumbangan itu diharap dapat membantu Persatuan Foochow Meradong meneruskan lebih banyak program kebudayaan, khususnya yang melibatkan penyertaan generasi muda dan masyarakat setempat.
Malam Kebudayaan Chung Hua turut menjadi antara pengisian Pesta Meradong 2026 yang mengetengahkan elemen kebudayaan sebagai medium mempertemukan masyarakat serta memperkukuh semangat perpaduan di Daerah Meradong.
Turut hadir ialah ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing Pegawai Daerah Meradong, Wee Teck Min Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Stephen Lau Chi Sing serta Pengerusi Pengelola Pesta Meradong 2026 yang juga Pengerusi Persatuan Foochow Meradong, Tang Kek Hian.
Oleh Earl Anek




