Gangguan sementara urusan cetakan MyKad bermula hari ini hingga 7 September – JPN

Facebook
WhatsApp
GANGGUAN SEMENTARA... Orang ramai melakukan urusan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berikutan gangguan sementara urusan cetakan MyKad di seluruh negara bermula hari ini hingga 7 September, susulan proses peralihan kepada MyKad Generasi Baharu. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang melalui proses peralihan daripada MyKad struktur sedia ada kepada MyKad Generasi Baharu, yang dijangka menyebabkan gangguan sementara terhadap urusan cetakan MyKad di seluruh negara.

JPN menerusi kenyataan hari ini memaklumkan gangguan sementara urusan cetakan MyKad itu dijangka bermula hari ini hingga 7 September. 

Sehubungan dengan itu, JPN menasihatkan orang ramai yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk membuat penukaran atau gantian MyKad supaya menangguhkan sementara urusan berkenaan sepanjang tempoh berkenaan.

“Bagi permohonan MyKad kali pertama untuk kanak-kanak berusia 12 tahun, ibu bapa atau penjaga juga digalakkan untuk menunggu seketika bagi membolehkan anak menerima MyKad Generasi Baharu apabila pengeluarannya bermula dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Pada masa yang sama, JPN menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang proses peralihan struktur kad pengenalan berkenaan serta memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul.

Perkembangan selanjutnya mengenai MyKad Generasi Baharu boleh didapati menerusi saluran rasmi JPN dari semasa ke semasa. – Bernama