Kraf tangan rotan terus jadi pilihan, warisan Iban kekal bernilai

Facebook
WhatsApp
ANTARA hasil anyaman rotan tradisional yang dihasilkan menggunakan kemahiran tangan dan teknik anyaman yang diwarisi turun-temurun.

BINTULU: Kraf tangan berasaskan rotan masih mempunyai tempat tersendiri dalam kehidupan masyarakat Iban, selain menjadi antara hasil seni tradisional yang mencerminkan identiti dan kreativiti mereka.

Bahan semula jadi itu diolah menerusi kemahiran menganyam yang diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya bagi menghasilkan pelbagai barangan dengan corak dan bentuk tersendiri.

Antara hasil yang sering dihasilkan termasuk bakul, lanjik dan sintong yang dahulunya lebih banyak digunakan untuk menyimpan atau membawa barangan.

PELBAGAI bakul rotan dengan bentuk dan corak berbeza yang sesuai digunakan untuk pelbagai keperluan harian.

Kini, penghasilan kraf rotan turut disesuaikan dengan citarasa semasa apabila produk bersaiz kecil dan reka bentuk lebih ringkas dihasilkan untuk dijadikan hiasan serta cenderamata.

Keunikan setiap hasil anyaman menjadikannya bukan sahaja menarik perhatian masyarakat tempatan, malah turut menjadi pilihan pengunjung yang mahu membawa pulang hasil kraftangan tradisional Sarawak.

Nilai sesuatu produk bergantung kepada saiz, reka bentuk, jenis bahan dan kerumitan anyaman, dengan sesetengah hasil mampu mencecah ratusan ringgit.

PELBAGAI bakul rotan dengan saiz dan corak berbeza yang dihasilkan untuk dijual.

Meskipun berdepan perubahan zaman dan cita rasa pengguna, kemahiran menghasilkan kraf rotan terus dipertahankan bagi memastikan seni anyaman tradisional masyarakat Iban tidak pupus.

Usaha itu sekali gus membuka peluang untuk warisan kraf berkenaan terus dikembangkan sebagai produk budaya dan sumber pendapatan kepada penggiat tempatan.

Oleh Carolyne Utih