BINTULU: Keadaan berjerebu menjejaskan kualiti udara di Bintulu apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencapai 178 setakat 4.00 petang hari ini.
Bacaan yang direkodkan menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) itu meletakkan Bintulu dalam kategori tidak sihat.
Keadaan jerebu turut dapat dilihat apabila suasana sekitar bandar kelihatan berkabus dengan jarak penglihatan yang semakin terhad.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar sekiranya keadaan jerebu semakin buruk, selain mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.
Golongan berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung dan paru-paru juga disaran mengambil perhatian terhadap keadaan kualiti udara semasa.
Menurut APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 berada dalam kategori tidak sihat.
Oleh Carolyne Utih





