JAKARTA: Bahan cemar daripada asap kebakaran hutan dan tanah di Sumatera serta Kalimantan, Indonesia dilaporkan bergerak menuju ke Selat Melaka dan Laut Natuna, sekali gus meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan yang boleh menjejaskan Malaysia, Singapura dan Brunei.
Ramalan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) bagi 29 dan 30 Ogos, yang dibentangkan semasa sidang media dalam talian harian Badan Nasional Pengurangan Bencana (BNPB) pada Ahad, menunjukkan kepekatan PM2.5 daripada kebakaran berkenaan tersebar ke arah barat laut, dengan angin berpotensi membawa bahan cemar itu ke tiga negara jiran berkenaan.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana BNPB Berton Panjaitan berkata keadaan jerebu kekal teruk di sebahagian Kalimantan, dengan jarak penglihatan di tiga wilayah keutamaan berkisar antara satu hingga 1.5 kilometer berbanding jarak penglihatan antara 2.4 hingga lima kilometer di wilayah terjejas di Sumatera.
Kualiti udara juga kekal pada tahap berbahaya di beberapa bahagian di Kalimantan, dengan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) mencecah 877 di Katingan, Kalimantan Tengah, diikuti 720 di Pontianak Tenggara, Kalimantan Barat, dan 715 di Barito Selatan Sanggu, Kalimantan Tengah setakat 4.41 petang hari ini, katanya.
“Apabila kualiti udara mencapai tahap tidak sihat atau berbahaya, kami sentiasa menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan, jika perlu keluar, pastikan memakai pelitup muka,” kata Berton.
Berton berkata titik panas juga terus meningkat di sebahagian Kalimantan, dengan Kalimantan Tengah merekodkan kenaikan tertinggi iaitu naik 876 kepada 5,391, dan Kalimantan Barat meningkat 453 kepada 3,824, tetapi Kalimantan Selatan mencatatkan penurunan sebanyak 279 kepada 1,077.
Beliau berkata titik kebakaran menurun di ketiga-tiga wilayah berkenaan iaitu kepada 56 di Kalimantan Tengah, 16 di Kalimantan Barat dan 52 di Kalimantan Selatan, manakala di Sumatra, titik panas turun kepada 804 di Sumatera Selatan dan 264 di Riau, tetapi meningkat kepada 135 di Jambi.
“Di enam wilayah keutamaan berkenaan, seramai 48,667 anggota kekal berwaspada dan sedang menjalankan operasi pemantauan, pemadaman, pendinginan serta pembasahan di tanah yang berisiko terbakar atau sedang terbakar,” katanya.
Beliau berkata 53 pesawat telah dikerahkan, termasuk 34 untuk pengeboman air dan 13 untuk rondaan.
Berton juga berkata operasi pemadaman kebakaran turut dipertingkat di Papua Barat, di mana 35 titik panas dan lapan titik kebakaran telah dikesan, dengan anggaran 2,496 hektar terjejas manakala jarak penglihatan antara lima hingga sembilan kilometer.- Bernama




