Jerebu: Sarikei masuk tahap sangat tidak sihat, IPU Serian cecah 435

Facebook
WhatsApp
SARIKEI merekodkan bacaan IPU 205 setakat 4.00 petang ini, meningkat daripada 199 pada jam 2 petang dan kini berada dalam kategori sangat tidak sihat.

KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak kekal membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Sarikei meningkat kepada 205, sekali gus memasuki kategori sangat tidak sihat setakat 4.00 petang ini.

Berdasarkan data pemantauan kualiti udara, bacaan Sarikei meningkat daripada 199 pada  2.00 petang, melepasi paras 200 yang dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.

Sementara itu, IPD Serian terus merekodkan bacaan IPU tertinggi di Sarawak apabila meningkat kepada 435, berbanding 425 pada 2.00 petang.

Dua lagi kawasan turut mencatat tahap merbahaya iaitu Samarahan dengan bacaan 336 dan Kuching (320).

Tebedu pula mencatat penurunan daripada 310 kepada 293, namun kekal dalam kategori sangat tidak sihat, bersama Lubok Antu (277), Sri Aman (253) dan Lundu (237).

Bagi kategori tidak sihat, Sibu mencatat bacaan 193, Mukah (183), Bintulu (182), Samalaju (175), Miri (162), Kapit (161), ILP Miri (159), Limbang (124), Lawas (126) dan Bario (117).

Secara keseluruhan, tiga kawasan merekodkan tahap merbahaya, lima kawasan sangat tidak sihat dan 10 kawasan tidak sihat setakat 4.00 petang ini.

Bacaan IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai merbahaya, manakala bacaan antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat dan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.