Dr Sim: Bayi antara pesakit Pusat Jantung Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Dr Sim Kui Hian ketika berucap pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawah, hari ini, berkaitan peranan dan pencapaian Pusat Jantung Sarawak.

KUCHING: Bayi antara golongan pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat Jantung Sarawak (PJS), sekali gus mencerminkan kepentingan institusi berkenaan dalam menyediakan perkhidmatan kepakaran jantung kepada masyarakat sejak usia seawal kelahiran.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata PJS yang kini memasuki kira-kira 25 tahun perjalanan telah menjadi antara institusi penting dalam rawatan jantung di Sarawak, dengan kira-kira 300,000 rakyat negeri ini mendapatkan rawatan di pusat berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, perkhidmatan PJS bukan sahaja melibatkan pesakit dewasa, malah turut merangkumi kanak-kanak dan bayi yang memerlukan rawatan berkaitan jantung.

RAKAMAN gambar kenangan bersama peserta dan penganjur pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawah.

“Kira-kira 300,000 rakyat Sarawak sudah mendapatkan rawatan di Pusat Jantung. Ramai, bukan sedikit. Malah golongan muda dan bayi juga ada yang mendapatkan rawatan di Pusat Jantung. Sebab apabila jantung berhenti, semuanya berakhir.” katanya.

Dr. Sim berkata demikian ketika berucap pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata perjalanan PJS dalam membina reputasi sebagai pusat rawatan jantung mengambil masa dan memerlukan usaha berterusan sejak penubuhannya kira-kira 25 tahun lalu.

Katanya, PJS kini berada dalam kelompok 100 pusat jantung terbaik di Asia Pasifik, selain turut menjadi pilihan tenaga perubatan dari Indonesia untuk mendapatkan latihan dalam bidang kardiologi.

PUSAT Jantung Sarawak (PJS), antara institusi kesihatan utama yang menyediakan perkhidmatan rawatan dan kepakaran jantung kepada rakyat Sarawak. Foto laman web Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan reputasi kepakaran Sarawak semakin mendapat pengiktirafan di luar negara.

“Ramai rakyat Indonesia memilih datang ke Pusat Jantung Sarawak untuk menjalani latihan. Ketua pakar kardiologi di Sumatera juga dilatih di Pusat Jantung Sarawak,” katanya.

Dr Sim berkata, pakar berkenaan tidak mendapatkan latihan di Singapura atau Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, sebaliknya memilih PJS sebagai pusat latihan kepakaran.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan Sarawak mampu membangunkan institusi bertaraf antarabangsa walaupun berada di Borneo.

“Pada tahun pertama, orang belum mengenali kita. Mereka datang hanya untuk melihat. Tetapi akhirnya kita berjaya meyakinkan mereka untuk datang,” katanya.

Beliau berkata pengalaman PJS itu juga boleh dijadikan contoh dalam membangunkan bidang baharu di Sarawak, termasuk industri e-sukan yang kini mempunyai potensi besar sebagai satu ekosistem dan profesion.

Katanya, kejayaan sesebuah institusi tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan masa, latihan, disiplin, kepakaran dan sokongan berterusan sebelum mampu menarik masyarakat serta komuniti antarabangsa.

Oleh Afiq Sallehi