SERDANG: Nanas varieti baharu Sarawak Gold (SG1) menjadi antara tarikan utama di Laman Nanas pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hingga Ahad depan.
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata sebanyak tujuh tan buah nanas SG1 dibawa khas dari Sarawak bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri keunikan serta keistimewaan buah berkenaan sepanjang tempoh pameran.
Beliau berkata varieti SG1 yang ditanam di Miri itu disifatkan sebagai produk nanas premium yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang amat tinggi.
“SG1 mempunyai beberapa kriteria keistimewaan, antaranya kemanisannya yang setanding dengan nanas varieti MD2, di samping mempunyai bentuk jambul unik menyerupai bunga ros dan bentuk buah dan rasanya yang sekata.
“Selain itu, tempoh matang SG1 juga lebih pendek, iaitu kira-kira sembilan bulan berbanding MD2 yang memakan masa 14 bulan dari tempoh penanaman sehingga penuaian,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Laman Nanas MAHA 2026 hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuzamri berkata varieti SG1 juga boleh ditanam secara berkepadatan tinggi, iaitu antara 25,000 hingga 30,000 pokok bagi setiap ekar, sekali gus mampu meningkatkan pengeluaran hasil tanpa memerlukan kawasan tanaman yang luas.
Beliau berkata LPNM kini dalam proses mengembangkan penanaman varieti itu di Semenanjung, dan menjangkakan bekalan benih SG1 sedia untuk diedarkan secara lebih meluas kepada pekebun menjelang tahun hadapan.
Mengenai potensi eksport, beliau memaklumkan percubaan penghantaran varieti berkenaan dari Sarawak ke Singapura telah mencatatkan kejayaan, dan mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran negara lain seperti China dan New Zealand berikutan daya ketahanannya yang tinggi.
Sementara itu, Mohd Khairuzamri berkata Laman Nanas pada edisi MAHA kali ini turut membawakan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” selari dengan usaha mengubah persepsi awam terhadap industri nanas.
“Menerusi pendekatan naratif ‘sekali tanam, tiga kali tuai’, pengunjung diberi pendedahan bahawa manfaat nanas tidak hanya terhad kepada buah segar, malah merangkumi tuaian benih serta pemprosesan sisa pokok nanas kepada produk bernilai tinggi seperti makanan ruminan, pakaian dan kertas,” katanya.
MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS, yang menghimpunkan sekitar 2,000 pempamer dan menyasarkan lebih empat juta pengunjung pada edisi kali ini. – Bernama





