PERMATANG PAUH: Usaha memartabatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi negara tidak seharusnya dilihat sebagai langkah untuk menyisihkan penguasaan bahasa lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata setiap rakyat tanpa mengira latar belakang kaum perlu menguasai bahasa kebangsaan dengan baik, namun pada masa sama, penguasaan bahasa lain seperti Inggeris, Mandarin dan Tamil harus terus diperkukuh bagi meluaskan peluang pendidikan serta ekonomi.
“Kita juga tahu bahasa Inggeris merupakan bahasa yang berkembang sebagai bahasa penting di dunia, maka sistem kita harus menerima, bukan menggantikan bahasa Melayu tetapi complement (melengkapi),” kata beliau ketika berucap pada Program Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata penguasaan bahasa Mandarin kini semakin penting memandangkan kedudukannya sebagai antara bahasa ekonomi utama di rantau ini, selain rakyat juga berminat untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa Tamil.
“Ia bukan satu zero-sum game. Saya galakkan anak-anak menguasai bahasa Cina dengan syarat penguasaan bahasa Melayu mereka mestilah cukup baik. Mempelajari bahasa rantau ini tidak merugikan.
“Memastikan kepentingan dan masa depan sendiri terjamin merupakan satu keperluan ekonomi. Ia bukan dilakukan dengan mengorbankan kepentingan bahasa Inggeris …, sebaliknya untuk memberi peluang yang lebih luas bagi meningkatkan dan mengembangkan potensi anda,” kata beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak menanam bibit permusuhan antara kaum kerana keharmonian negara tidak boleh dianggap akan kekal selamanya tanpa usaha konsisten memelihara perpaduan.
Beliau menegaskan semangat saling berkongsi, menyayangi dan membantu perlu diterapkan agar setiap rakyat tanpa mengira kaum dapat menikmati manfaat pembangunan negara secara inklusif. – Bernama





