KAMPALA: Raja kerajaan tradisional Tooro di Uganda, Raja Oyo Nyimba Kabamba Iguru Rukidi IV, mangkat pada usia 34 tahun.
Perkara itu diumumkan perdana menteri negara tersebut pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Menurut laporan media yang tidak disahkan kerajaan Uganda, baginda menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Amerika Syarikat selepas berbulan-bulan berjuang melawan penyakit kanser.
Raja Oyo, yang ditabalkan ketika berusia tiga tahun, diiktiraf tahun lepas oleh Guinness Book of Records sebagai raja yang sedang memerintah paling muda di dunia.
Media Uganda, termasuk stesen televisyen, akhbar dan media sosial, melaporkan secara meluas mengenai kemangkatan raja muda itu, yang merupakan seorang peminat sukan dan aktivis alam sekitar.
Presiden Uganda, Yoweri Museveni, memulihkan semula kerajaan-kerajaan tradisional di negara Afrika Timur itu selepas bekas presiden Milton Obote memansuhkannya pada 1960-an.
Raja-raja yang memerintah di Uganda dilarang oleh undang-undang daripada terlibat dalam aktiviti politik. Mereka hanya mengambil bahagian dalam kempen berkaitan isu seperti pemeliharaan alam sekitar atau kesihatan, serta memainkan peranan istiadat dalam pelantikan ketua kaum. – Bernama-dpa





