Ibu bapa perlu beri kesedaran, peringatan elak anak terjebak ‘akaun keldai’

Facebook
WhatsApp
IBU bapa memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak, khususnya remaja, agar tidak terjebak dengan sindiket ‘akaun keldai’ yang boleh membawa implikasi undang-undang. Foto janaan AI.

PENAMPANG: Ibu bapa perlu memberi kesedaran dan mengingatkan anak-anak, khususnya golongan remaja supaya tidak terjebak dengan sindiket ‘akaun keldai’ yang boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan undang-undang.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata tindakan membenarkan pihak lain menggunakan akaun boleh menyebabkan pemilik akaun berdepan tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dalam kegiatan penipuan atau transaksi yang menyalahi undang-undang.

“Ini antara perkara yang perlu kita beri perhatian. Kita perlu mengingatkan diri sendiri, ibu bapa dan anak-anak, khususnya remaja supaya tidak mudah terperdaya atau membenarkan akaun mereka digunakan oleh pihak lain.

“Penggunaan digital kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Sebab itu, selain memanfaatkan teknologi, kita juga perlu mengetahui risiko dan ancaman yang datang bersamanya,” katanya ketika berucap pada Program Keibubapaan Digital Siri IV bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kapayan, anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata perkembangan teknologi digital telah mengubah cara masyarakat menjalankan pelbagai urusan termasuk transaksi kewangan, perniagaan dan permohonan bantuan kerajaan. 

Beliau berkata penggunaan pembayaran melalui kod respons pantas (QR) kini semakin meluas, termasuk dalam kalangan peniaga di pasar, sekali gus menunjukkan transaksi digital bukan lagi sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat.

“Begitu juga dengan pelbagai geran keusahawanan yang disediakan di seluruh negara. Banyak permohonan geran untuk usahawan, persatuan dan koperasi termasuk yang disediakan Kerajaan Persekutuan kini dibuat secara dalam talian,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata penggunaan teknologi digital perlu diseimbangkan supaya masyarakat, khususnya golongan muda tidak terlalu tertumpu kepada telefon pintar sehingga mengabaikan tanggungjawab serta perkara lain yang penting dalam kehidupan.

Ewon berharap perkongsian melalui program itu dapat meningkatkan pengetahuan ibu bapa dalam membimbing anak-anak menggunakan teknologi digital secara selamat, bertanggungjawab dan berhemah.

“Saya akan terus menyokong inisiatif keibubapaan seperti ini yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tetapi turut mengingatkan saya sendiri mengenai tanggungjawab sebagai seorang bapa,” katanya. – Bernama