Lelaki direman enam hari kes kanak-kanak maut dicederakan di leher

Facebook
WhatsApp
DITAHAN....Suspek ditahan susulan maklumat diterima pihak polis, beberapa barang kes turut dirampas di lokasi kejadian. Foto IPD Sibu

SIBU: Seorang lelaki berusia 49 tahun yang dipercayai bapa saudara kepada kanak-kanak lelaki yang maut selepas dipercayai dicederakan di bahagian leher, direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek ditahan susulan maklumat diterima pihak polis, manakala beberapa barang kes turut dirampas di lokasi kejadian.

Menurutnya, suspek dibawa ke Mahkamah Sibu hari ini bagi permohonan reman dan mahkamah membenarkan lelaki berkenaan direman sehingga 4 September ini bagi membantu siasatan.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira 1.45 tengah hari semalam.

“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine.

Abang Zainal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dihukum mati.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, selain memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Oleh Akun Giman