BAU: Seramai 29 individu dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret Bau pada 27 dan 28 Ogos 2026 atas kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952).
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman, berkata kes berkenaan melibatkan pertuduhan di bawah Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, dengan hukuman denda dan penjara dikenakan mengikut pertuduhan masing-masing.
Beliau berkata, antara hukuman yang dikenakan ialah denda RM3,600 serta penjara tujuh bulan mulai 27 Ogos selepas gagal membayar denda, manakala bagi satu lagi pertuduhan, denda RM3,000 dan penjara 10 bulan dikenakan selepas gagal membayar denda.
Bagi dua pertuduhan berasingan yang lain, mahkamah menjatuhkan denda RM2,900 dan RM2,500, masing-masing dengan hukuman penjara enam dan sembilan bulan jika gagal membayar denda. Kedua-dua denda berkenaan telah dibayar.
Dalam satu lagi kes membabitkan empat pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a), mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing sembilan, 10, 10 dan 10 bulan. Hukuman penjara 10 bulan bagi pertuduhan terakhir diperintahkan berjalan berturutan selepas selesai hukuman terdahulu.
Individu lain turut dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 11 bulan serta denda antara RM2,500 hingga RM5,000, bergantung kepada pertuduhan masing-masing.
Menurut Mohd Haide, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly di hadapan Majistret Ling Hui Chuan di Mahkamah Majistret Bau.
Beliau berkata, polis akan terus bekerjasama dengan mahkamah dan pihak pendakwaan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dadah serta membanteras kesalahan berkaitan dadah di daerah berkenaan.





