MIRI: Padah mencuri dua rim kereta dari sebuah stor, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Miri, hari ini.
Tertuduh mengaku bersalah selepas didakwa mencuri dua rim kereta pada 16 Ogos lalu di sebuah premis perniagaan di Jalan Miri Bypass di sini.
Kejadian terbongkar selepas pemilik premis menerima notifikasi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon bimbitnya sebelum mendapati seorang lelaki tidak dikenali telah memanjat pagar dan melarikan rim yang disimpan di dalam stor.
Hasil siasatan polis mendapati stor berkenaan tidak berbumbung dan hanya dipagari tembok konkrit.
Premis itu digunakan untuk menyimpan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sementara menunggu kerja-kerja pembaikan.
Susulan laporan dibuat, sepasukan polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menjejaki suspek di hadapan sebuah premis kediaman di Kampung Pujut Tanjung Batu, di sini.
Suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Polis turut merampas semula dua rim kereta yang dipercayai dicuri selain menemui resit penjualan bagi kedua-dua rim berkenaan.
Oleh Liong Chai Ling





