MUKAH: Seorang guru lelaki berusia 56 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Mukah hari ini atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap 10 murid sekolah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet kira-kira 10.00 pagi.
Menurutnya, mengikut pertuduhan lelaki berkenaan yang semasa bertugas di salah sebuah sekolah rendah di daerah Mukah telah melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual ke atas 10 orang kanak-kanak perempuan yang mana ketika kejadian tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mereka iaitu sebagai guru.
“Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik makmal sains dan bilik darjah, kejadian berlaku antara tahun 2022 hingga 2024.
“Laporan polis telah dibuat oleh seorang guru kaunseling sekolah menengah di Mukah pada 7 Ogos 2026 apabila menerima aduan daripada salah seorang mangsa,” ujarnya menerusi kenyataan.
Katanya, susulan siasatan yang dijalankan sepasukan Polis Bahagian Siasatan Jenayah
IPD Mukah telah menahan guru lelaki berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Tertuduh didakwa mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama seksyen 16(1) akta yang sama.
“Di bawah Seksyen 14(a) AKSTK 2017 tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat dan hukuman tambahan di bawah Seksyen 16(1) AKSTK 2017 boleh dihukum penjara maksimum 5 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang dua kali sebatan jika sabit kesalahan,” ujarnya lagi.
Muhamad Rizal berkata, tertuduh yang hadir bersama peguam tidak membuat sebarang pengakuan.
“Tertuduh ditawarkan dengan wang jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM20,000 bersama dua orang penjamin tempatan.
“Tertuduh telah membayar wang jaminan tersebut, kes akan disebut semula pada 20 Oktober 2026,” katanya.
Oleh Akun Giman





