Seorang maut, tiga cedera dalam kemalangan dua lori

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa yang tersepit di bawah lori 5 tan yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Menyan, Serian, petang ini. Foto JBPM

SERIAN: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi mangsa mengalami cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lori di Jalan Sungai Menyan, Serian, petang ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 2.50 petang.

“Pasukan tiba di lokasi pada 3.05 petang dan mendapati kemalangan membabitkan dua lori, iaitu lori kargo dan lori 5 tan, dengan empat mangsa terlibat.

“Tiga mangsa mengalami cedera ringan, manakala seorang mangsa tersepit di bawah lori 5 tan yang terbalik dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” kata Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Bilong Lusat dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh orang awam, manakala dua lagi mangsa dihantar ke Hospital Serian menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Menyelamat (EMRS).

Menurutnya, anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

Mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi turut melibatkan kerja-kerja pembersihan kesan kemalangan sebelum keadaan di lokasi dipastikan selamat.

Operasi dikawal pada 3.30 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada 4.45 petang.