BAU: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui meninggal dunia di bilik rehat rumahnya di Bau, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 3.31 petang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa ditemui bapanya kira-kira 2.00 petang selepas mangsa memaklumkan sebelum itu bahawa dia mahu berehat di bilik berkenaan.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Bau kira-kira 3.10 petang.
Mohd Haide berkata pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan mencurigakan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Bau untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Polis turut akan mengambil keterangan saksi bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Oleh Connie Chieng





