Tiga cedera dalam kemalangan Hilux dan motosikal Pan Borneo Sri Aman-Betong

Facebook
WhatsApp
Tiga lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman-Betong dekat Bayai, tengah hari tadi. Foto BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Tiga lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman-Betong dekat Bayai, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.24 pagi itu, Toyota Hilux dinaiki dua lelaki, manakala motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 74 tahun.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerima panggilan kecemasan sebelum jentera bersama sembilan anggota digerakkan ke lokasi.

Komander Operasi, PBK I Mohd Fadhli Buyong, berkata setibanya di lokasi pada 11.34 pagi, pihaknya mendapati tiga mangsa terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Dua mangsa yang berada dalam Toyota Hilux dikenal pasti pemandu berusia 56, yang mengalami kecederaan di kepala, serta penumpang berusia 43 tahun yang turut mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Mangsa ketiga, iaitu lelaki warga emas berusia 74 tahun yang menunggang motosikal, mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kaki.

TIGA lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman-Betong dekat Bayai, tengah hari tadi. Foto BBP Sri Aman

“Tiada operasi penyelamatan dilakukan kerana dua mangsa dari Toyota Hilux berjaya keluar sendiri dari kenderaan.

“Anggota bomba memberikan rawatan awal sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Sri Aman II menggunakan jentera sebuah Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, mangsa motosikal menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan hospital di lokasi sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

Pasukan bomba turut menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi membersihkan sisa kemalangan di atas jalan raya bagi memastikan keadaan kembali selamat.

Operasi dikawal pada 11.40 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 12.25 tengah hari selepas tiada bahaya lain dikesan.

Operasi turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tiga anggota Hospital Sri Aman.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat berdepan masalah liputan komunikasi Girn Romeo 1 dan liputan telefon selular yang kurang memuaskan di lokasi kejadian.

Oleh Adi Safarman