DARO: Program Misi Kecemerlangan Akademik (X-Mission) terus menunjukkan impak positif dalam membantu meningkatkan prestasi akademik murid luar bandar, khususnya dalam penguasaan Bahasa Inggeris serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pelaksanaan X-Mission sejak empat tahun lalu membuktikan pendekatan berterusan menerusi bengkel, latihan dan pendedahan akademik mampu meningkatkan tahap kesediaan murid menghadapi penilaian.

Menurutnya, program berkenaan penting dalam memberi peluang kepada murid di sekolah pesisir dan luar bandar mendapatkan bimbingan tambahan, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan serta pencapaian akademik.
“Alhamdulillah, sejak program ini dilaksanakan empat tahun lalu, kita dapat melihat kemajuan dan ia diakui membantu meningkatkan prestasi anak-anak kita, khususnya dalam subjek Bahasa Inggeris dan STEM,” jelasnya kepada pemberita.
Terdahulu, Dr Safiee menyempurnakan perasmian Majlis Penutupan Program Misi Kecemerlangan Akademik (X-Mission) 2.0: Ujian Penilaian Program Dwibahasa (DLP) Tahun 6 dan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Kelengkapan Persekolahan PEKEMA Sarawak.
Dr Safiee memberitahu, Misi Kecemerlangan 2.0 tahun ini melibatkan enam sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sebenak, SK Semak, SK Batang Lasak, SK Pasin, SK Sawai dan SK Kampung Penasu.
Katanya, kesinambungan program itu setiap tahun penting bagi memastikan murid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro tidak ketinggalan dalam aspek akademik, terutama dalam mata pelajaran yang memerlukan penguasaan bahasa dan kemahiran berfikir.
“Perkembangan positif yang dicapai menerusi program ini mendorong kita untuk meneruskannya setiap tahun bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik murid di kawasan DUN Daro,” ujarnya.
Dalam pada itu, sokongan terhadap pendidikan murid turut diteruskan menerusi Program Sumbangan Kelengkapan Persekolahan hasil kerjasama dengan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak.
Sebanyak 500 beg sekolah disumbangkan untuk diagihkan kepada murid daripada enam sekolah berkenaan, sekali gus membantu meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan persekolahan.

Dr Safiee berkata bantuan tersebut turut memberi suntikan semangat kepada murid untuk kembali ke sekolah dengan lebih yakin dan bersemangat.
“Apabila mereka mendapat beg sekolah baharu, ia sedikit sebanyak memudahkan persediaan mereka untuk ke sekolah dan memberi motivasi kepada mereka untuk terus belajar,” katanya.
Pada majlis sama, Dr Safiee turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM24,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Penasu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Penasu, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Nanga Semah dan PIBG SK Kampung Sawai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PEKEMA Sarawak, warga pendidik, pihak sekolah serta komuniti kampung yang bersama-sama menjayakan usaha memperkukuh pendidikan dan kebajikan murid di kawasan berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan jamuan bersama warga kampung dan semua pihak yang terlibat.
Oleh Akun Giman





