KUCHING: Lubok Antu menjadi kawasan paling terjejas akibat kemerosotan kualiti udara di Sarawak apabila Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 230, sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat setakat 8.00 pagi hari ini.
Enam kawasan lain turut merekodkan tahap tidak sihat dengan Sri Aman mencatat IPU 192, diikuti Lundu (188), IPD Serian (170), Sarikei (153), Tebedu (124) dan Miri (108).
Sementara itu, Kuching menghampiri paras tidak sihat dengan bacaan 99, manakala Bintulu mencatat 97.
Sibu dan Samalaju masing-masing merekodkan IPU 89, ILP Miri serta Lawas masing-masing 85, Bario (82), Mukah (74), Limbang (69) dan Kapit (62), kesemuanya pada tahap sederhana.
Tiada bacaan direkodkan bagi stesen Samarahan setakat 8.00 pagi.
Secara keseluruhan, satu kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat, enam kawasan tidak sihat dan 10 kawasan sederhana, manakala satu stesen tidak mempunyai data.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 51 hingga 100 dikategorikan sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, manakala 201 hingga 300 dikategorikan sangat tidak sihat.
Bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.
Oleh Norman B




