LEON Goretzka yang masuk sebagai pemain gantian berjaya menyelamatkan kempen Euro 2020 Jerman menerusi gol penyamaan lewat ketika seri 2-2 menentang Hungary di Munich sekali gus membolehkan mereka bertemu England dalam pusingan kedua nanti.
Adam Szalai membuat kejutan dengan meletakkan Hungary di hadapan manakala Jerman menyamakan kedudukan melalui Kai Havertz dalam babak kedua dan selepas itu giliran Hungary kembali mendahului menerusi jaringan Andras Schaefer.
Dengan perlawanan berbaki enam minit, Goretzka menjaringkan gol penyamaan penting untuk membuat temu janji dengan England di Wembley Rabu depan sekali gus menyingkirkan Hungary yang berada di tangga tercorot Kumpulan F.
“Saya sangat gembira kerana kami tidak mempunyai keraguan sekarang dan penuh dengan keyakinan kerana pada awalnya nasib dan maruah hampir tercalar,” kata Goretzka di tengah perayaan Jerman selepas wisel penamat dibunyikan.
Jerman berjaya menghindari ulangan penyingkiran dari peringkat kumpulan yang mengejutkan sebagai juara bertahan, di Piala Dunia 2018 di Rusia.
“Kami melakukan kesilapan namun berjuang dan menunjukkan semangat yang luar biasa,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew, yang hanya mempunyai enam minit untuk menamatkan tugas beliau selama 15 jurulatih Jerman dan kekalahan yang memalukan.
“Bukan untuk mereka yang lemah hati. Sekarang ia akan menjadi tumpuan utama untuk menentang England di Wembley.
“Kami akan bersedia dan saya dapat menjanjikannya,” ujarnya.
Penjaga gol Hungary, Peter Gulacsi mengakui sukar menerima kekalahan setelah mendahului dua kali . “Sukar untuk mencari kata-kata. Kami bermain dengan baik. Jelas Jerman menguasai permainan. Akhirnya, ini adalah nasib buruk bagi kami dan nasib baik untuk Jerman,” katanya.- AFP