SONG: Dua wanita terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Song-Sibu, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.11 malam.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song dengan kekuatan enam anggota bersama sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan kendiri membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabas ke dalam parit.
“Terdapat dua mangsa perempuan dewasa dalam kenderaan berkenaan. Seorang mangsa berjaya keluar sendiri, manakala seorang lagi masih berada di dalam kenderaan ketika pasukan bomba tiba.
“Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan, namun mengadu sakit di bahagian badan.
“Pasukan operasi bertindak mengeluarkan mangsa yang masih berada di dalam kenderaan sebelum menstabilkannya dengan memasang kolar serviks (cervical collar) sementara menunggu ketibaan ambulans.
“Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.
Oleh Akun Giman





