MARUDI: Pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas penting dalam pembentukan masa hadapan generasi muda.
Penolong Pegawai Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah), Pejabat Pendidikan Daerah Baram, Saadiah Hassan, berkata tempoh usia antara sifar hingga enam tahun merupakan tempoh keemasan atau “Golden Age” yang sangat signifikan bagi perkembangan fizikal, sosioemosi, intelek dan rohani kanak-kanak.
Menurut beliau, proses pembelajaran tidak seharusnya bermula dan berakhir di kelas tabika atau taska semata-mata, sebaliknya perlu diteruskan dan diperkukuh di rumah.
Katanya, guru-guru di sekolah merupakan rakan kongsi dalam pendidikan anak-anak, manakala ibu bapa ialah pendidik pertama dan utama yang memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan mereka di rumah.
“Melalui bengkel keibubapaan ini, kita mahu mewujudkan kesinambungan pendidikan yang kukuh antara pembelajaran di tabika atau taska dengan pendidikan di rumah,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika/Taska KEMAS Parlimen Baram 2026 yang berlangsung di Dewan Suarah Marudi, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa segala ilmu dan kemahiran yang dipelajari anak-anak di tabika atau taska perlu diperkukuh dan diaplikasikan di rumah supaya perkembangan mereka dapat berlaku secara holistik dan seimbang.
Dalam pada itu, beliau berkata, membesarkan anak-anak dalam era digital masa kini mempunyai cabaran tersendiri, terutama dari segi penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa membesarkan anak-anak dalam era digital masa kini mempunyai cabaran yang sangat unik. Salah satu topik kritikal yang turut dibincangkan dalam bengkel ini ialah penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Menurut beliau, ibu bapa perlu peka terhadap bahaya penggunaan gajet secara berlebihan kerana perkara itu boleh menjejaskan interaksi sosial dan perkembangan emosi anak-anak kecil.
Justeru, beliau berharap pendedahan dan pengisian yang diperoleh menerusi bengkel tersebut dapat membantu ibu bapa menjadi lebih bersedia serta mempunyai panduan yang jelas untuk mengawal dan memantau penggunaan gajet di rumah.
Pada masa sama, ibu bapa digalakkan menggalakkan anak-anak menyertai aktiviti sihat yang dapat merangsang perkembangan minda, fizikal dan kemahiran sosial mereka.
Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika/Taska KEMAS Parlimen Baram 2026 itu disertai seramai 160 ibu bapa dan dianjurkan oleh Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pejabat KEMAS Daerah Marudi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai KEMAS Daerah Marudi Therry Noel George Anyi, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Marudi Dr Ng Kee Ting, Pegawai Sains Pemakanan Pejabat Kesihatan Daerah Marudi Hadirah Zainalabidin dan Pemangku Pegawai Penerangan Daerah Marudi Joseph Ting Ah Tai.
Oleh Jiku Juguong





