PADAWAN: Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Tan Kai berkata, Pesta Safari Rakit Padawan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 Oktober di sepanjang Sungai Sarawak Kiri akan menjadi platform untuk mengetengahkan keindahan alam semula jadi, budaya dan komuniti di kawasan Padawan.
Katanya, acara itu turut membantu meletakkan Padawan sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengembaraan, alam semula jadi dan komuniti, selain memberi peluang kepada peserta menikmati sungai, hutan hujan, kampung tradisional serta warisan budaya tempatan.
“Safari Rakit Padawan bukan sekadar acara berakit. Ia merupakan platform untuk mengetengahkan keindahan alam semula jadi, budaya dan komuniti Padawan serta meletakkan Padawan sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengembaraan, alam semula jadi dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata, program tahun ini turut memperkenalkan Hari Pengalaman Berakit atau Kayuhan Santai pada 3 Oktober sempena Pesta Eksplorasi Padawan, yang membolehkan keluarga, kumpulan korporat, peserta baharu dan pengunjung dari luar Sarawak menikmati pengalaman berakit tanpa tekanan pertandingan.
Pesta Eksplorasi Padawan pula akan berlangsung selama lima hari dari 2 hingga 6 Oktober, merangkumi aktiviti perdagangan, sukan, pengembaraan, pelancongan dan kebudayaan.
Tan berkata, Persatuan Pengilang Sarawak turut akan menganjurkan Pameran Perdagangan Sarawak dari 2 hingga 4 Oktober di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho bagi mempromosikan perniagaan, produk tempatan dan peluang pelaburan.
Katanya, pengunjung dan delegasi antarabangsa termasuk dari bandar persahabatan Padawan, Huangshi, Hubei, China, serta peserta dari Indonesia, Brunei, Bangladesh, Sri Lanka dan negara lain turut dijangka menyertai pelbagai aktiviti sepanjang festival.
“Paling penting, kami mahu acara ini mewujudkan peluang kepada komuniti tempatan,” katanya, sambil menambah kehadiran pelancong dapat memberi manfaat kepada pengusaha inap desa, makanan, perniagaan kecil, pengendali pelancongan serta komuniti di sepanjang sungai.
Tan berkata Safari Rakit Padawan 2026 turut menjadi sebahagian daripada Borneo Raft Safari League, sekali gus menempatkan Padawan dalam platform lebih luas bagi aktiviti berakit dan pelancongan pengembaraan berasaskan sungai di Sarawak dan Borneo.
Beliau berkata sebanyak 95 pasukan telah mendaftar setakat 26 Ogos, manakala pendaftaran masih dibuka sehingga 2 September.
“Saya menggalakkan pasukan dari Sarawak, Malaysia dan luar negara untuk menyertai acara ini dan merasai sendiri pengalaman di Padawan,” katanya.
Tan berkata tahun ini turut bermakna bagi MPP kerana majlis itu menyambut ulang tahun ke-70 sebagai pihak berkuasa tempatan.
“Dalam meraikan pencapaian ini, kami turut melihat ke arah masa depan untuk membangunkan Padawan yang mampan, inklusif dan selesa didiami, selain mewujudkan peluang baharu kepada komuniti dan generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MTCP Sarawak, Safari Rakit Borneo, Grit Event Management, agensi kerajaan, penaja, komuniti, sukarelawan, peserta dan pihak media atas sokongan yang diberikan.
“Kami menantikan kehadiran semua ke Padawan dari 2 hingga 6 Oktober 2026. Marilah kita menjadikan Padawan destinasi yang bukan sekadar dikunjungi, tetapi diterokai, dialami dan dikenang,” katanya.
Oleh Connie Chieng





